Penyanyi Malaysia, Shiha Zikir pernah berdepan situasi ditegur seorang artis lelaki yang memperlekehkan bakatnya dalam industri seni.
Berdasarkan laporan mStar, disebabkan kejadian itu kata Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 37, dia juga mengalami rasa kurang senang sehingga membuatkan dirinya lebih berhati-hati memilih rakan sekeliling.
“Saya tak ramai kawan artis. Mungkin sebab pernah terkena beberapa kejadian depan lain belakang lain. Bila di depan sangat baik, tetapi cakap belakang.
“Ada seorang artis telefon saya suruh saya balik rumah cermin diri layak ke duduk dalam industri. Saya kena serangan panik sebab kes ini.
“Saya kena dengan seorang artis lelaki yang sangat kita tidak sangka,” katanya.

Shiha berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu dalam rancangan podcast Confession Bilik Gelap. Terkejut dengan insiden tersebut, kata Shiha dia juga sangat mengagumi artis berkenaan.
“Saya sangat menginspirasikannya dan terkejut dia buat macam itu. Saya hanya memberi reaksi biasa sahaja. Saya pernah berjumpa dengannya dan dia yang malu sendiri,” ujarnya.
Bercerita tentang perjalanan sebagai anak seni, penyanyi ini juga memberitahu ada dalam kalangan rakan artis yang tidak suka dengan kehadirannya.
Biarpun melalui situasi sebegitu, Shiha lebih senang mengambil pendekatan tidak ambil pusing kerana enggan dipengaruhi aura negatif.
“Masa saya baru jadi penyanyi, ada artis yang duduk semeja dengan saya terus bangun.
Katanya menyampah dengan budak baru. Saya hanya senyap sahaja.
“Tetapi empat atau lima tahun lalu dia yang cari saya dan bertanya tentang tawaran kerja.
“Saya tak suka dengan aura negatif. Kalau berdepan perkara sebegini saya biasanya akan lebih suka mengelak,” kongsinya. – Agensi