Doa Shikin Maembong di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah di Mekah sebelum ini untuk dipertemukan jodoh serta menerima anak perempuannya disifatkan sudah dimakbulkan Allah.
Shikin atau Siti Nur Ashikin Ismail, 40, berkata, meskipun perkenalan dengan suami iaitu penyanyi dan komposer Cat Farish berlaku dalam tempoh singkat namun perjalanan hubungan mereka sehingga disatukan sebagai suami isteri dipermudahkan.
“Saya pernah berdoa dekat Mekah untuk bertemu jodoh yang baik dan dapat menerima anak perempuan saya. Apabila jumpa Cat tak sangka semuanya dipermudahkan.
“Insya-Allah kalau boleh nak berbulan madu di Tanah Suci sebab saya pasang niat nak berpimpin tangan dengan suami di depan Kaabah,” katanya kepada mStar.
Pada malam Khamis Cat dan Shikin disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis yang diadakan di Setapak, Kuala Lumpur.
Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Ibnu Abbas Taman Ibu Kota Kuala Lumpur Mohd Shukri Shafie yang berwalikan bapa pengantin perempuan Ismail Embong.
Dalam pada itu, Cat pula tidak melihat keputusan mendirikan rumah tangga dengan Shikin sebagai tergesa-gesa sebaliknya kerana masing-masing sudah matang.
“Bagi saya perkahwinan ini tidak tergesa-gesa memandangkan kami pun sama-sama sudah matang. Nak bercinta berapa lama lagi?
“Kami berkahwin untuk kebahagiaan anak-anak,” katanya.
Tambah Cat, dia juga terharu apabila keluarga isteri banyak membantu membuat persiapan majlis perkahwinan mereka walaupun masing-masing sibuk dengan perkara lain.
“Apabila kami beritahu nak berkahwin, Chacha dan Emma yang paling kelam kabut sekali nak buat persiapan. Alhamdulillah keluarga banyak tolong.
“Rasa terharu juga bila adik-beradik banyak berjasa untuk majlis ini,” luahnya.
Sebelum itu, Cat juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Hartiny Ramli dan bercerai pada 2016.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13 dan Qul Iskandar, 12 tahun.-Agensi