Monday, January 20, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shila Amzah dedah trauma diganggu ketika ke sekolah

    Penyanyi Shila Amzah berkongsi trauma pernah dihadapi sewaktu remaja apabila berdepan gangguan seksual ketika dalam perjalanan ke sekolah.

    Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, sewaktu berjalan kaki seorang diri menuju ke sekolah, dia didatangi dua individu lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.

    Kata Shila, salah seorang lelaki itu kemudiannya bertindak merabanya secara tiba-tiba.

    “Sewaktu itu saya berusia dalam lingkungan 15 atau 16 tahun, saya tak pernah naik bas ke sekolah dan hanya berjalan kaki.

    “Saya pula jenis tak suka datang lambat, jadi saya suka keluar rumah awal. Selalunya saya akan sampai ke sekolah sebelum pukul 7 pagi.

    “Waktu saya sedang berjalan nak pergi sekolah, tiba-tiba ada dua orang lelaki menaiki motosikal. Saya jalan sahaja macam biasa, selepas itu kedua-dua lelaki itu patah balik dan saya kena raba oleh mereka,” katanya.

    Shila berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di podcast Ubai Sentral yang dimuat naik di YouTube.

    Susulan kejadian tersebut, Shila memberitahu dia memahami perasaan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual bukan tidak mahu bertindak tetapi terkedu dengan kejadian yang berlaku pantas di depan mata.

    Kongsi Shila, selepas menerima gangguan itu membuatkan dia berasa trauma dan terdiam ketika tiba di sekolah.

    “Mereka sentuh macam ‘touch and go’. Lelaki yang pegang saya itu seorang sahaja. Saya fahamlah bila wanita kena gangguan seksual, kalau kita tidak berada di situasi itu memang senang untuk kita suruh jerit minta tolong dan sebagainya.

    “Tetapi bila kena pada diri sendiri, waktu itu baru saya tahu erti menjerit tetapi suara memang tak boleh keluar. Bila tiba di sekolah saya jadi trauma dan terdiam,” ujarnya. – Agensi

    Shila membuat pengakuan pernah menjadi mangsa gangguan seksual. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda