Penyanyi Shila Amzah mengakui keputusannya ‘meninggalkan’ perkahwinan bersama bekas suami, Haris Idraki adalah pilihan terbaik dalam hidupnya.
Shila yang pernah berdepan ujian episod hitam dalam rumah tangga menganggap perkara sebenar yang berlaku dalam sebuah perkahwinan hanya diketahui pasangan suami isteri.
“Satu perkara perlu diingatkan, perkahwinan hanya suami isteri sahaja yang tahu keadaan sebenar terjadi. Ibu bapa atau rakan baik pun mungkin tidak mengetahuinya.
“Saya tidak berpihak kepada sesiapa, tetapi segala komen yang dilemparkan membuatkan saya rasa sangat sedih. Sebabnya, mereka tidak tahu apa yang terjadi.
“Saya pula jenis yang sangat berterus-terang. Namun, dalam masa yang sama tetap risau kesan pada anak. Letakkan anak di tempat utama dalam diri kita,” ujarnya.
Shila berkata, dia hanya memberi tumpuan dan fokus kepada kesihatan mentalnya terlebih dahulu dan tidak meletakkan anaknya, Seth Uwais sebagai yang utama.
Jelas pelantun lagu Jauh Hati itu, dia yakin kebahagiaan anaknya bergantung kepada tahap kestabilan dan kebahagiaan dirinya.
“Saya tidak meletakkan Seth sebagai keutamaan. Sebab saya pasti masih berada dalam perkahwinan sekiranya meletakkannya keutamaan.
“Dan saya percaya saya perlu bahagiakan diri saya terlebih dahulu sebelum membahagiakan anak. Saya tidak mahu serabut, balik dari kerja rasa tidak bermaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shila sempat menitipkan pesanan kepada ibu dan bapa tunggal untuk membuat keputusan membahagiakan diri.
“Wanita boleh membuat keputusan sendiri, tidak kisah sama ada ada pasangan atau tidak. Sebagai wanita, kita perlu mampu menghadapi segala perkara dan bertahan seorang diri.
“Kepada ibu atau bapa tunggal, jangan malu serta takut.
“Kalau perkara tersebut membuatkan awda bahagia dan tidak menjejaskan emosi anak, teruskan,” tambahnya lagi. – Agensi