Gara-gara anak dilihat jarang bersama bapanya, ada peminat mula mempersoalkan kepada Shila Amzah mengenai hubungannya dengan bekas suami iaitu Haris Idraki Elias.
Menjawab mengenai pertanyaan itu, Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, berkata dia kini lebih mengutamakan kegembiraan anaknya iaitu Seth Uwais dan tidak mahu perkara itu mengganggu kehidupan kanak-kanak berkenaan.
“Tak apalah yang penting sekarang Seth gembira, doakan yang baik-baik,” katanya.
Shila berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada peminatnya tentang bapa kandung Seth di satu hantaran Instagram.
“Maaf bertanya, bapa kandung Seth memang tak jenguk anak dia ke?,” soal warganet.

Dalam muat naik sama, Shila turut berkongsi perasaan teruja dan sebak melihat anaknya itu memulakan hari pertama persekolahan.
Kata Shila, dia dapat melihat perubahan pada anaknya yang dahulu kurang bercakap namun kini menjadi peramah dan mudah mendengar arahan, lapor mStar.
“Hari pertama Seth bersekolah. Perasaan normal mak-mak, sedih tapi Sha (Shila) gembira sangat dengan milestone dia.
“Dia teruja sampai berlari masuk sekolah tadi. Mama dan papa yang sedih, tapi ini lah prosesnya.
“Dari tak bercakap langsung, dari tak pandai dengar arahan, tak faham, sekarang Alhamdulillah dia berjaya kejar,” katanya. – Agensi