Susulan bersuara mengenai isu keganasan rumah tangga, penyanyi Shila Amzah kesal apabila ada pihak mengheret nama suaminya iaitu Ubai.
Shila atau Nurshahila Amir Hamzah, 34, sebaliknya berkata luahan dibuat bukan tentang Ubai dan menganggap tuduhan dibuat sebagai fitnah.
“Kaki pukul itu bukan Ubai ya. Apa punya benak tulis fitnah macam itu.
“Saya tidak berkahwin dengan lelaki seperti itu,” katanya menerusi hantaran di Instastory miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Shila turut menyatakan rasa simpati terhadap ujian menimpa pelakon dan model Zahnita Wilson yang mendedahkan dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Jelas Shila, mereka yang pernah melalui perkara itu sahaja mampu memahami dan merasai kesakitan dialami.
“Saya simpati dengan nasib menimpa Zahnita. Siapa yang pernah melaluinya sahaja mengetahui peritnya,” katanya.
Sementara itu, Shila meminta orang ramai terus mendoakan agar diberikan kekuatan kepada mereka yang masih terperangkap dalam hubungan toksik.
Malah mengingatkan keluarga dan rakan-rakan tidak meninggalkan mangsa bersendirian.
“Mari kita doakan sesiapa yang belum dapat keluar daripada masalah keganasan rumah tangga atau sebarang hubungan diberi kekuatan mental dan fizikal untuk cepat lari daripada pemangsa mereka.
“Jika kawan atau anak kita hilang secara tiba-tiba, ini adalah satu petanda. Tolong jangan biarkan mereka sendirian,” ujarnya.
Pada Sabtu Shila ada meminta masyarakat agar tidak mudah tertipu dengan permainan individu kaki pukul.
Ini kerana kata Shila golongan ini akan melakukan pelbagai cara untuk memastikan mangsa berasa seolah-olah bergantung hidup kepadanya.
Malah tegas Shila, seorang pendera juga tidak akan berubah.
Untuk rekod, Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Idraki Elias sebelum bertemu jodoh dengan Ubai atau Muhammad Ubaidillah. – Agensi