Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shila Amzah rindu mahu nyanyi lagu Melayu

    Lebih 10 tahun mencipta nama di China, penyanyi Shila Amzah dihujani pelbagai tawaran persembahan yang memintanya untuk membawakan lagu dalam bahasa Mandarin.

    Bagaimanapun Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, menjelaskan, dia kini sudah mula merindui untuk menghiburkan peminat di sini menerusi lagu-lagu berbahasa Melayu.

    “Bukan saya tidak suka di mana saya berada sekarang (penerimaan peminat Cina), tetapi sebagai penyanyi dan penggubah lagu kita ada jati diri sebagai anak Malaysia.

    “Sekarang ini apabila saya diundang membuat persembahan pentas atau majlis makan malam, saya jarang dapat menyanyikan lagu Melayu.

    “Cuma malam ini (Rabu) saya dapat menyanyikannya di hadapan peminat sehingga mula terbit  perasaan rindu itu,” katanya kepada mStar.

    Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara Showcase Big Stage Alpha yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur pada malam kelmarin.

    Dalam pada itu, Shila memberitahu dia menyimpan hasrat untuk kembali menghiburkan peminat dengan koleksi lagu-lagu yang pernah dipopularkan seperti Memori Tercipta, Patah Seribu dan Masih Aku Cinta.

    Menurutnya, masih ramai peminat di Malaysia yang merindukan nyanyiannya menerusi lagu bahasa Melayu namun belum berkesempatan merealisasikan permintaan itu.

    “Kebanyakan peminat saya sekarang adalah berbangsa Cina. Ini disebabkan karier saya yang sudah memasuki tahun yang ke-10 di China.

    “Dalam masa sama, sudah tentu saya merindukan peminat-peminat yang meminati lagu bahasa Melayu nyanyian saya,” ujarnya.

    Bercerita tentang perjalanan seni selama 25 tahun dalam industri hiburan, Shila mengakui menerima beberapa tawaran untuk menganjurkan konsert, tetapi kebanyakannya adalah konsert untuk pasaran peminat kaum Cina.

    “Apabila penganjur datang kepada saya, kebanyakan daripada mereka menawarkan untuk menganjurkan konsert yang menampilkan lagu-lagu dalam bahasa Mandarin.

    “Saya boleh katakan, 80 hingga 90 peratus lagu yang perlu saya nyanyikan adalah dalam bahasa tersebut.

    “Namun jauh di sudut hati, karier saya bermula dengan lagu-lagu berbahasa Melayu. Jadi, saya mahukan sebuah konsert yang dapat menarik peminat lagu Melayu,” katanya. – Agensi

    Shila sering menerima tawaran persembahan menyanyikan lagu Mandarin. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda