Shila Amzah sudah bercerai?

Penyanyi lagu Tiada Dirimu, Shila Amzah, 31, mengakui tidak tinggal sebumbung dengan suaminya sejak dua bulan lalu selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga.

Tidak mendedahkan secara terperinci punca pergolakan rumah tangga, Shila atau nama sebenarnya, NurShahila binti Amir Amzah reda dengan takdir yang tertulis buatnya.

“Saya sentiasa menunjukkan wajah gembira.. Orang tidak tahu perjuangan saya..Dan saya sedang bergelut dengan susah payah saya sekarang. Dah dua bulan Sha keluar dari rumah dengan Seth tumpang dirumah mak abah di Langat.”

Tambah penyanyi itu, dia telah pun menfailkan perceraian namun masih dalam proses.

“Sha dah file cerai, tapi malangnya masih dalam proses sebab dia decide nak prolong benda ni..Cuma bila dah jadi macamni, Sha dah tak boleh nak sabar lagi malah cuba sedaya upaya untuk bertahan dan jaga hati dan nama baik semua orang,” tulisnya.

Dalam pada itu, Shila turut terkesan dari kejadian banjir di Hulu Langat, Selangor sejak hari Jumaat yang lalu. Katanya, rumah ibu bapanya yang didiaminya sekarang turut terjejas dan mereka sekeluarga terpaksa menumpang teduh dirumah saudara.

“Sekarang bila tengok rumah di Langat dah jadi macam ni.. rasa sedih sangat, sebelum ni tumpang berteduh kat rumah mak abah..tapi sekarang kita semua pula hilang tempat berteduh, sekarang kita semua tumpang rumah Aunty Sha.

“Sha ada rumah kat Cyber pun tak selesa nak balik sebab si dia masih berada di rumah Sha.”

Penyanyi yang menempa nama di negara China ini berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada tahun 2018. Haris bekerja dalam sektor kewangan di kota London dan pernah bekerja sebagai wartawan di The Star pada tahun 2015. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais yang berusia 1 tahun. – Agensi

Shila Amzah mengakui tidak tinggal sebumbung dengan suami sejak dua bulan lalu selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga. – Agensi