Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shila Amzah sudah mula bekerja walau belum cukup pantang

    Penyanyi Malaysia, Shila Amzah sudah mula bekerja dan melakukan persembahan sempena sambutan ulang tahun 50 Tahun Malaysia dan China semalam, walaupun masih berbaki beberapa hari sebelum habis tempoh berpantang.

    Memetik laporan mStar, Shila atau Nurshahila Amir Hamzah, 34, berkata beliau teruja dapat kembali bekerja dan diberi kepercayaan menjayakan acara berkenaan.

    “Kembali bekerja! Walaupun belum habis berpantang… saya masih ada beberapa hari lagi kira halal la.

    “Hari ini untuk sambutan 50 tahun persahabatan China dan Malaysia jadi saya akan menyanyikan lagu tema sambutan ini,” katanya.

    Shila berkongsi perkara itu menerusi aplikasi TikTok yang turut memaparkan dirinya sedang melakukan persiapan untuk acara berkenaan yang dipercayai berlangsung di Kuala Lumpur.

    Dalam pada itu, Shila memberitahu ini merupakan tugasan pertamanya selepas berehat panjang melahirkan anak kedua sejak tiga bulan lalu.

    “Kerja pertama setelah tiga bulan. Dari hujung trimester, bersalin dan pantang. Ayuh kita kayuh!” ujarnya.

    Sementara itu, rata-rata warganet mengagumi perubahan tubuh badan Shila yang dikatakan semakin kurus selepas bersalin.

    “Kurus! Shila sudah dapat berat badan sebelum mengandung ke?

    “Macam tak percaya sudah anak dua, Shila tetap cantik macam selalu,” antara komen warganet.

    Pada 9 Mei lalu, Shila selamat melahirkan cahaya mata perempuan seberat 2.84 kilogram di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

    Shila bersama suami iaitu Ubai atau Muhammad Ubaidilillah Mohd Zulkefli, 26, bersepakat memberi nama anak damit mereka, Rhea Akira yang membawa maksud kemenangan dan terang.

    Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai pada 5 Ogos tahun lalu.

    Sebelum itu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian.

    Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.

    Shila teruja dapat kembali berkerja. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda