Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shila Amzah, Ubai kini suami isteri

    Dengan sekali lafaz, penyanyi Shila Amzah, 33, bergelar isteri kepada kepada pempengaruh media sosial, Ubai Mz, 25, di Boathouse Ampang, jam 10:27, hari ini.

    Dengan sekali lafaz, pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan yang juga penyanyi era 1980an, Datuk ND Lala dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Hai Mohamad Khairi Hussein.

    Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 daripada Ubai, manakala hantaran dirahsiakan.

    Shila berkata, dia bersyukur kini bergelar isteri Ubai.

    “Alhamdulillah, syukur ke hadrat llahi atas kelancaran majlis pernikahan, pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati Allah.

    Shila dan Ubai dinikahkan oleh ND Lala dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Hai Mohamad. – mStar

    “Saya lega kerana selepas melalui fasa pertunangan pada 27 Mei lalu, kami disatukan sebagai suami isteri di hadapan ahli keluarga terdekat dan sahabat yang disayangi.

    “Harapan semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling menyayangi hingga ke Jannatul Firdaus.

    “Apa yang paling penting kami dapat menjaga anak, Seth Uwais dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada BH Online.

    Sementara itu, Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

    “InsyaAllah, saya sudah bersedia dan akan menjadi suami dan ayah yang terbaik untuk Shila dan Seth. Doakan semoga ikatan perkahwinan terus mekar dan kekal sehingga ke akhir hayat,” katanya.

    Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Ubai berkata, mereka belum ada perancangan memandangkan sibuk dengan tuntutan kerja.

    “Disebabkan kekangan masa, kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu.

    “Namun, mungkin akan ada percutian pendek dalam negara terlebih dahulu,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda