Penyanyi Shila Amzah kembali dengan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku, hasil gubahan sendiri selepas berehat panjang daripada berkarya.
Shila berkata, single terbaharu itu menandakan fasa kematangannya selepas 25 tahun bergelar anak seni apabila dihasilkan dengan penuh emosi dan kejujuran peribadi, menurut laporan BH Online.
Mengimbau proses penulisannya, Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Hamzah, 35, menjelaskan lagu berkenaan tercipta dalam masa dua hari ketika masih dalam tempoh berpantang.
“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami (Ubai) menyarankan agar saya cuba luahkan apa yang dirasai melalui lagu dan dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Lagu ini bukan sekadar luahan, tetapi proses penyembuhan buat diri saya,” katanya.
Shila memberitahu, lagu tersebut dirakamkan dalam suasana yang sangat positif dan efisien dengan bantuan penerbit dan penggubah muzik, Genervie Kam.
Genervie yang juga pengarah muzik wanita cukup disegani di Malaysia memberi sokongan penuh kepada Shila sepanjang proses rakaman yang hanya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk disiapkan.
Menurut Shila, meskipun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan kesedihan dalam hubungan, dia menyuntik unsur harapan dan kekuatan agar mampu menjadi ruang pemulihan buat pendengar.
“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan ada jalan keluar. Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati. Tetapi, pada masa sama, saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian.
“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu,” katanya.
Pernah Punya Aku adalah single pertama daripada album terbaharu Shila yang akan dilancarkan akhir tahun ini. – Agensi
