Selepas 10 tahun menjalinkan hubungan cinta, pasangan selebriti Shin Min Ah dan Kim Woo Bin bakal menamatkan zaman bujang mereka pada 20 Disember depan.
Menerusi kenyataan rasmi agensi mereka, AM Entertainment, majlis pernikahan pasangan itu akan diadakan secara tertutup di Seoul dengan kehadiran keluarga terdekat dan rakan rapat sahaja.
“Berdasarkan kepercayaan mendalam yang dibina sepanjang hubungan mereka, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin berjanji untuk menjadi pasangan sehidup semati,” katanya.
Agensi itu turut memohon doa dan sokongan peminat untuk pasangan berkenaan yang disifatkan sedang membuat keputusan paling bermakna dalam hidup mereka.
Woo Bin dan Min Ah dalam masa sama akan terus berkarya sebagai anak seni meskipun sudah berumah tangga kelak.
“Kami berharap semua dapat memberikan restu buat mereka. Shin Min Ah dan Kim Woo Bin juga akan terus komited dalam kerjaya seni serta berusaha membalas kasih sayang peminat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Woo Bin berkongsi khabar gembira itu bersama peminatnya dalam satu surat tulisan tangan kerana sentiasa menyokong dia dan Min Ah.
“Saya mahu menjadi orang pertama yang berkongsi berita ini dengan anda, peminat saya yang dikasihi, yang sentiasa menyokong saya tanpa mementingkan diri sendiri. Ya, saya akan berkahwin,” kongisnya.
Untuk rekod, pasangan ini mula menjalinkan hubungan sejak 2015 dan semakin utuh apabila Woo Bin berdepan masalah kesihatan pada 2017. – Agensi


