Tidak berniat menolak rezeki, pelakon Shiqin Kamal, 32, menganggap zaman membawakan watak penyondol sudah berakhir.
Malah, Shiqin berharap ada pihak yang berani menghasilkan skrip lebih bijak kerana bosan
dihidangkan jalan cerita sama, lapor BH Online.
“Saya harap ada orang berani buat skrip lebih bijak sebab kita asyik tengok benda sama, seolah-olah macam template.
“Asyik babak orang ini goda orang itu dan dapat juta-juta. Bukan saya tidak berminat bawakan watak antagonis, nanti dikata tolak rezeki.
“Tapi, bila sering bawakan watak sama tentulah timbul rasa bosan. Berilah peluang kepada pelakon wanita berlakon dalam cerita aksi atau risikan,” katanya yang ditemui pada Malam Gala Tayangan Filem Reversi arahan Adrian Teh di ibu negara, semalam.
Shiqin yang membawakan watak Sarah berkata, biarpun Reversi bergenre sains fiksyen yang sarat drama, tetapi jalan ceritanya menarik dan bijak.
“Walaupun Reversi menampilkan genre drama berat, tapi saya sukakan filem ini berkonsepkan rentas waktu dan naskhah bijak.
“Sebenarnya, ada sahaja pelakon berbakat yang boleh bawakan watak berbeza, tetapi bila sudah dilabelkan hanya sesuai bawa sesuatu watak, maka watak sama sahaja diberikan.
“Kalau diberi peluang saya mahu menjadi seperti Angelina Jolie. Saya sanggup korbankan masa menjalani latihan fizikal atau diet ketat jika diberi peluang,” katanya.
Shiqin meminta agar penerbit dan pengarah memberi peluang kepada pelakon untuk mencuba pelbagai karakter berbeza.
“Beri peluang dengan buat uji bakat untuk mengetahui sama ada seseorang pelakon mampu atau tidak. Mungkin tidak sebarangan pelakon, tetapi memilih pelakon yang boleh melakonkan sesuatu watak dengan baik,” ujarnya. – Agensi