Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shogi kembali tambat hati peminat Jepun

    TOKYO – Shogi, variasi catur Jepun yang terkenal sebagai ‘permainan jeneral,’ sedang meningkat popular di negara itu disebabkan remaja berbakat luar biasa dengan pengikut bintang rock.

    Kejayaan Sota Fujii yang mengagumkan serta daya tarikan aneh telah menjadikan namanya terkenal di Jepun, membersihkan imej permainan papan tradisional yang lapuk dan memperkenalkannya kepada penonton baharu.

    Remaja berusia 19 tahun itu menjadi pemain paling muda yang pernah mencecah taraf tertinggi shogi iatu ‘dan kesembilan’ pada musim panas ini dan bulan lalu menjadi pemain paling muda yang memenangi tiga daripada lapan kejuaraan utama sukan berkenaan.

    Fujii melancarkan usahanya untuk menawan siri kejohanan keempat daripada tujuh kejohanan ‘Ryuo’ terbaik pada awal bulan ini dan rakan pemain profesionalnya memujinya kerana memberikan nafas baharu kepada permainan seakan-akan catur itu.

    “Sebelum ini hanya peminat shogi yang akan mengikuti permainan ini, namun sekarang program berita umum mempunyai kisah tentang shogi dan ia telah menarik peminat baharu,” beritahu pemain shogi profesional Taichi Nakamura kepada AFP.

    Gambar menunjukkan pemain professional Sota Fujii semasa sidang media pertandingan di antara Masayuki Toyoshima di Tokyo. – AFP
    Catur shogi kelihatan di papan shogi semasa kelas shogi di Pusat Shogi di Kashiwa. – AFP
    Guru shogi, Kazuo Ishida (kanan) mengajar seorang pelajar semasa kelas shogi di Pusat Shogi di Kashiwa, wilayah Chiba. – AFP

    “Tidak adanya ramai peminat shogi wanita sebelumnya. Tetapi sejak Sota Fujii muncul, ramai wanita telah menunjukkan minat dalam permainan tersebut.”

    Dengan rambutnya yang kusut-masai, senyuman lebar dan suara nyaring, Fujii tidak kelihatan seperti pemain pujaan yang digambarkan.

    Namun wajahnya terpampang dalam majalah, papan iklan dan skrin televisyen di seluruh Jepun, dan kek kegemarannya laris dijual di kedai dalam masa beberapa jam selepas dia memakannya semasa perlawanan.

    Kenyataannya kepada media pada lazimnya bersifat rendah diri.

    “Saya tidak memberikan tumpuan kepada gelaran itu sendiri,” kata Fujii selepas kemenangan terbaharunya.

    “Perkara paling penting bagi saya adalah betapa kuatnya saya dalam kejohanan.”

    Shogi dimainkan di atas papan kayu biasa dengan catur dibezakan oleh huruf Cina yang bercat. Ia telah wujud dalam bentuknya sekarang selama kira-kira 400 tahun.

    Peraturan permainan adalah sama dengan catur, dengan perbezaan utama adalah catur yang ditakluki boleh bertukar pihak dan kembali semula ke papan – satu amalan yang dikatakan berpunca daripada askar upahan abad ke-15 di Jepun.

    “Saya telah bermain shogi lebih daripada 50 tahun sekarang dan saya tidak pernah berasa bosan dengannya,” kata pemain profesional yang sudah bersara, KazuoIshida, menduduki tempat ‘dan kesembilan.’

    “Ia disebabkan shogi merupakan satu permainan dengan keragaman yang tidak terbatas. Awda tidak sekali-kali akan bermain dalam satu permainan yang sama dua kali.”

    Pemain baharu shogi mesti mencapai ‘dan’ pertama pada usia 21 tahun, ‘dan’ keempat pada usia 26 jika mereka mahu menjadi pemain profesional. Buat masa sekarang terdapat kira-kira 160 pemain profesional aktif di Jepun.

    Pemain profesional menerima gaji daripada persatuan dan boleh memperoleh pendapatan tambahan daripada wang hadiah serta mengulas mengenai perlawanan.

    Pemain profesional Nakamura berkata profil Fujii yang dikenali ramai telah menarik peminat kasual yang kurang berminat dalam selok-belok permainan dan memberi tumpuan yang lebih kepada pemain sendiri.

    “Terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah orang yang tidak bermain shogi tetapi menyaksikan perlawanan profesional,” katanya.

    “Orang mula berasa seronok menonton pertandingan dari segi kisah peribadi di antara dua pemain.”

    Shogi yang popular bertemakan manga dan anime juga telah membantu membangkitkan minat, namun Fujii bukan superstar pertama yang telah dihasilkan oleh sukan.

    Yoshiharu Habu adalah pemain shogi berbakat luar biasa asal, memenangi kejuaraan pertamanya ketika berusia 19 tahun pada 1989 sebelum memenangi kesemua gelaran pada masa yang sama – satu kejayaan yang masih belum ditandingi.

    Habu diiktiraf dengan People’s Honour Award Jepun pada 2018 dan telah memenangi 99 gelaran sepanjang kerjayanya.

    Pemain bersama Ishida percaya Fujii adalah lebih kuat daripada Habu pada masa era kegemilangannya, namun berkata masih perlu menunggu untuk melihat sama ada dia mampu menyaingi kejayaan Habu.

    Dia memikirkan timbulnya perubahan ‘dramatik’ dalam cara orang menerima shogi.

    “Saya fikir mungkin terdapat lebih ramai orang yang bermain dalam era Habu, tetapi sekarang terdapat lebih ramai peminat yang menyaksikan perlawanan,” katanya. “Kegilaan Habu adalah sesuatu yang dilihat, namun saya fikir semua orang di seluruh negara tahu siapa Fujii.”

    Pengaruh Fujii pastinya dapat dilihat dalam kelas kanak-kanak pada pagi Ahad yang diajar Ishida di Kashiwa, berhampiran Tokyo.

    Menurutnya, semakin ramai kanak-kanak telah menyertai sukan itu sejak Fujii menjadi popular, dan tidak timbulnya keraguan siapa pemain kegemaran mereka.

    “Sota Fujii betul-betul nampak hebat,” kata Soichi Ishikawa, 7 tahun, sambil bergelut untuk meninggikan suaranya supaya kedengaran di antara bunyi keletak-keletuk catur.

    “Saya mahu menjadi seorang pemain shogi profesional apabila saya sudah besar nanti.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda