Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Shotokan Karate Brunei Darussalam juara SBOKC 23

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Persatuan Karate Shitokai Brunei Darussalam (PKSBD) dengan kerjasama Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF); Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah menganjurkan Kejohanan Karate Terbuka Shitokai Brunei 2023 (SBOKC 23) sekitar bulan Disember lalu.

    Kejohanan karate yang berlangsung selama tiga hari yang diadakan di Dewan Serba guna, Berakas, itu dibukakan kepada semua termasuk para atlet tempatan dan juga dari seluruh dunia.

    Lebih 200 orang peserta dan 13 buah pasukan dari negara-negara luar seperti Malaysia, Filipina dan India termasuklah Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai kejohanan tersebut.

    Sebanyak 40 kategori telah dipertandingkan dalam kejohanan tersebut di bawah dua acara utama iaitu Kata dan Kumite yang kemudiannya dibahagikan lagi kategorinya mengikut berat dan juga mengikut umur antara lapan tahun hingga veteran.

    Secara keseluruhannya, lima orang pemenang teratas mengikut pasukan telah menerima pingat masing-masing.

    Antara peserta yang telah memperoleh pingat di kejohanan tersebut.– GAMBAR SERAHAN PKSBD

    Tempat pertama dirangkul oleh Shotokan Karate Brunei Darussalam dengan 10 pingat emas, 15 pingat perak dan 16 pingat gangsa; dan Inspire Karate Club menduduki tempat kedua dengan tujuh emas, empat perak dan lapan gangsa.

    Manakala pemenang di tempat ketiga ialah Rengokai Karate Brunei Darussalam dengan enam emas, tujuh perak dan lapan gangsa.

    Dengan membawa pulang enam emas, tiga perak dan sembilan gangsa telah menempatkan Wadokai Brunei di tempat keempat diikuti dengan Shitoryu Karate Association Brunei Darussalam dengan tiga emas, tujuh perak dan 12 gangsa sebagai pemenang kelima.

    Antara tetamu kehormat yang hadir bagi menyempurnakan pingat-pingat kepada para pemenang pada sesi penyampaian pingat hari pertama ialah wakil dari Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Ali Rahim bin Haji Abdul Rani; dan Setiausaha Agung PKSBD, Ainnur Faisha Amyra @ Sallyanasuby binti Isal.

    Manakala pada hari kedua sesi penyampaian pingat telah disempurnakan oleh Pengerusi SBOKC 23, Pengiran Haji Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Pengiran Dr Haji Mohd Yusuf; dan Naib Presiden PKSBD, Shihan Mohammad bin Haji Ladis.

    Sementara sesi penyampaian pingat pada hari ketiga pula telah disempurnakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei, Tuan Yang Terutama Maeda Toru; dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Syarikat RB, Haji Badarudin bin Haji Bagol.

    Adapun tujuan utama acara ini adalah untuk mempamerkan komitmen negara terhadap seni mempertahankan diri, khususnya karate. Penganjurannya juga sebagai satu platform untuk mengetengahkan kemahiran dan bakat para peserta sekali gus berkongsi pengetahuan antara satu sama lain yang pastinya memiliki keunikan dan kehebatan tersendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...