Thursday, December 12, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shuib hilang sabar dituduh ahli Freemason

    Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib sudah hilang sabar apabila seorang pengguna Facebook menuduh dia sebagai antara ahli sebuah organisasi bermula dengan huruf F dipercayai merujuk kepada Freemason.

    Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan berhubung tuduhan jahat dilemparkan terhadapnya yang turut mengaitkan Allahyarham isterinya iaitu Siti Sarah Raisuddin.

    Malah Shuib memberitahu dia ingin bertemu sendiri dengan pengguna Facebook berkenaan dalam tempoh 24 jam. “Banyak hari saya sabar, hari ini saya terpanggil untuk berkenalan dengan Mamat ini yang mana tulisannya terlalu hebat dan berani.

    “Kenapa kau libatkan arwah isteri aku Siti Sarah? Freemason? Apa yang kau tahu? Meh cakap depan-depan aku! 24 jam cari aku! Peguam tengah jalankan kerja. Tunggu!” katanya.

    Menerusi hantaran berkenaan, individu tersebut mendakwa arwah Siti Sarah dipaksa ditidurkan kerana Shuib ingin membuktikan pada ibu-ibu mengandung tentang risiko tidak mengambil vaksin.

    Bukan itu sahaja, pengguna Facebook tersebut juga mendakwa organisasi yang bermula dengan huruf F itu menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin.

    “Tak sangka eh bekas Mat Kilang ini ahli F juga, pasal arwah SS (Siti Sarah) itu pun kita memang tahu dia dipaksa untuk ditidurkan sebab mamat ini nak buktikan pada ibu-ibu mengandung di luar sana yang kalau kau tak cucuk vaks (vaksin) kau berisiko tinggi untuk mati.

    “Dan benda itu viral dan berduyun-duyun ibu mengandung yang pergi cucuk,” tulis individu itu dalam hantaran tersebut. – Agensi

    Shuib berang kematian arwah isteri dikaitkan dengan organisasi F. –mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda