Pelawak dan penyampai radio Suria FM Shuib menyangkal dakwaan wujud sesi pujuk memujuk agar dia kembali menyertai program Sepahtu Reunion seperti mana pernah diberitahu oleh salah seorang anggotanya, Jep menerusi beberapa temu bual sebelum ini.
Shuib atau Shahmira Muhamad, 39, sebaliknya menjelaskan Sepahtu sedia maklum mengenai keputusannya dan punca dia tidak mahu kembali menyertai program tersebut buat masa ini.
“Saya pun pelik kerana sebelum ini tidak ada pun sesi pujuk memujuk seperti didakwa. Mereka tahu kenapa saya tidak boleh ke arah itu (menyertai Sepahtu Reunion).
“Mereka kenal saya, kalau saya kata tidak, maka tidak akan berlaku,” katanya kepada mStar.
Bagaimanapun kata Shuib dia tidak menolak kemungkinan dia akan kembali bersama Sepahtu jika digerakkan hati suatu hari nanti.
Dalam pada itu, Shuib yang kini kembali ke pentas lawak menerusi program Ubi Superstar Live mengakui berasa kekok menghiburkan peminat selepas sekian lama berehat.
Meskipun kembali aktif dalam program lawak, dia bagaiamanapun enggan terlibat dengan sebarang bentuk pertandingan.
“Untuk menyertai pertandingan memang tidak. Bukan lagi masanya untuk saya terlibat dengan program yang memberi tekanan sebegitu,” ujarnya. – Agensi