Biarpun sudah bergelar pelakon senior dan membintangi pelbagai naskhah popular, Shukri Yahaya, 36, mengakui bukan alasan baginya bersikap terlalu memilih dalam menimbang tawaran penerbit drama, lapor BH Online.
Shukri atau nama penuh, Mohd Shukri Yahaya menganggap dirinya bertanggungjawab untuk menghidupkan sebarang watak yang ditawar dan dipersetujuinya.
“Saya tidak memilih drama. Apa sahaja naskhah yang saya dapat, itu tanggungjawab saya. Kalau orang cakap saya ada ambil naskhah yang tidak bagus, sebenarnya, tugas kita untuk menampakkan karya itu bagus.
“Saya masih lagi berlakon drama dan tidak kisah untuk teruskan. Saya juga ada berlakon filem dan sebenarnya, banyak tawaran membintangi filem dan drama bersiri yang bagus dan mahal diterima.
“Namun, selalunya, bertembung dengan projek drama yang saya sudah terima dari awal. Saya jenis tidak menunggu, apa datang dahulu, saya ambil.
“Saya sudah ada drama di platform Over The Top (OTT) dan pernah berlakon untuk platform penstriman, Tonton,” katanya ditemui pada sesi fotografi drama Hai Cinta Dengarkanlah di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.
Shukri yang popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku mengakui sedang mencari ruang untuk mempelbagaikan karakter dibawa kerana tidak mahu penonton bosan.
“Saya bukan penat dengan drama berat, tetapi mahu pelbagaikan lakonan saya. Nanti orang akan cakap, asyik muka saya sahaja kalau drama berat. Jadi, mereka malas tengok.
“Ada juga yang komen bosan asyik tengok muka saya sahaja.
“Namun, kalau diikutkan, saya terbabit dalam penggambaran drama sekali sahaja setahun,” katanya. – Agensi
