Memegang status sebagai seorang suami, ramai dalam kalangan peminat mengharapkan agar aktor Shukri Yahaya sentiasa menjaga batas dalam lakonan terutama apabila bergandingan dengan pelakon wanita.
Lebih-lebih lagi selepas melihat penampilan isterinya iaitu Tya Adnan yang kini sudah berniqab, menurut laporan mStar.
Menerima baik setiap teguran diberi, Shukri atau Mohd Shukri Yahaya, 37, berkata dia menyedari tanggungjawab itu dan terus berdoa agar tidak melakukan sesuatu perkara secara berlebihan.
“Rasanya sudah tiada berlakon berpegang tangan (pelakon wanita). Semoga saya terus istiqamah, terus menjaga hati isteri saya dan keluarga. Doakan saya!” katanya ringkas.
Shukri ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Blood Brother: Bara Naga yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Bukan hanya dalam drama, malah Shukri juga sering menerima pujian ramai dan dianggap sebagai contoh lelaki setia.
Enggan hanyut dek pujian, aktor ini berkata dia menyedari implikasi terhadap keluarga sekiranya dia melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan nama baik mereka.
“Saya tak pernah bangga dilabel sebagai lelaki setia. Saya sentiasa berpesan kepada diri sendiri supaya ingat keluarga dalam setiap apa yang dilakukan.
“Saya ada isteri dan anak-anak. Apa yang saya lakukan akan beri kesan kepada mereka. Jadi saya tak mahu ada perkara tidak elok berlaku,” ujarnya.
Sementara itu bercakap tentang filem Blood Brother: Bara Naga, Shukri memberitahu bukan mudah untuk dia menjayakan watak Fadlan yang mempunyai jalan cerita tersendiri.
Menjalani sesi latihan selama hampir enam bulan sebelum penggambaran, Shukri melakukan sendiri setiap babak aksi dalam filem berkenaan.
“Watak saya ada perkembangan dari awal sampai akhir. Selama enam bulan jalani latihan kami dapat keserasian antara semua pelakon,” ujarnya.
Filem berkenaan merupakan arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra dan bakal ditayangkan bermula 10 April. – Agensi
