MANILA – Seekor kucing yang memakai jaket keselamatan warna hitam-kuning berjalan-jalan dengan santai melewati pengawal keselamatan yang berbaris di luar bangunan pejabat Filipina menunggu untuk menerima arahan bagi giliran kerjanya.
Conan, kucing terbiar berusia enam bulan, menyertai pasukan keselamatan Pusat Korporat Seluruh Dunia di ibu negara Manila beberapa bulan lalu.
Ia adalah salah seekor kucing bertuah yang secara tidak rasmi diambil dan dijaga oleh pengawal keselamatan di seluruh bandar, tempat beribu-ribu kucing tinggal di jalanan.
Sementara kucing tidak mempunyai kemahiran keselamatan seperti anjing dan mempunyai kecenderungan untuk tidur di tempat kerja. Sifatnya yang comel dan mesra telah membuatkan haiwan tersebut disayangi oleh pengawal keselamatan yang bosan bekerja syif 12 jam.
Conan diselamatkan ketika berusia beberapa minggu oleh pembantu rumah yang menemuinya mengiau-ngiau di tempat letak kereta bangunan itu.





Haiwan itu secara tidak sengaja diberikan peranan sebagai kucing keselamatan selepas rakan kerja sebelumnya, Mingming, mati – dilaporkan kerana penyakit gusi, bukan semasa menjalankan tugas.
Pengawal yang berdukacita mahu si bulus lain menceriakan syif mereka dan memutuskan untuk melantik Conan sebagai pengganti Mingming.
“Jika Conan tiada maka saya tidak mempunyai motivasi,” beritahu pengawal keselamatan Aljon Aquino, 30, kepada AFP.
“Ia (Conan) menghilangkan tekanan saya.”
Gambar Conan memakai anak baju yang tertera perkataan ‘keselamatan’ dan berbaring di atas meja bersebelahan dengan gambar kadbod Mingming bersaiz sebenar telah dikongsi ribuan kali di Facebook.
Conan adalah antara lebih sedozen kucing terbiar yang tinggal di bangunan komersial dan korporat, di mana kucing-kucing berkenaan dibenarkan merayau.
Pekerja semuanya mengeluarkan duit untuk membeli makanan untuk kucing tersebut.
Walaupun menjalani kehidupan terbaiknya, Conan tidak menunjukkan minat untuk membantu rakan sekerjanya menjalankan tugas keselamatan mereka, seperti menggeledah beg pembeli dan pekerja semasa mereka memasuki bangunan.
Sebaliknya, ia lebih suka tidur, bermalas-malas di hadapan Starbucks berdekatan atau mengejar bola di atas lantai berjubin, menarik perhatian orang yang lalu-lalang.
“Kadang-kadang orang akan mendukungnya secara suka-suka kerana ia benar-benar peramah,” kata Aquino sambil bermain-main mengusik Conan dengan batonnya.
“Ia suka kerjanya menemani pengawal keselamatan.” – AFP

