Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Si kaya semakin kaya, jurang kekayaan semakin melebar – Oxfam

    BERLIN, 20 NOV – Organisasi pembangunan Oxfam mendedahkan jurang kekayaan antara penduduk dunia terus meningkat, lapor agensi akhbar Jerman, dpa.

    Dalam analisis yang dikeluarkan pada Khamis menjelang sidang kemuncak G20 minggu ini, Oxfam menyatakan bahawa jutawan di negara-negara G20 menyaksikan kekayaan mereka meningkat sebanyak AS$2.2 trilion sepanjang tahun lalu.

    Kumpulan itu berkata jumlah itu cukup untuk membebaskan 3.8 bilion orang daripada kemiskinan.

    Sidang kemuncak G20 akan berlangsung pada Sabtu di Johannesburg. Kumpulan itu menghimpunkan negara-negara perindustrian utama dan ekonomi yang sedang pesat membangun.

    Oxfam berkata jutawan di negara G20 meningkatkan jumlah kekayaan mereka sebanyak 16.5 peratus dalam tempoh setahun, daripada AS$13.4 trilion kepada AS$15.6 trilion.

    Pertubuhan itu menganggarkan kos tahunan untuk menamatkan kemiskinan bagi 3.8 bilion orang yang hidup di bawah garis kemiskinan Bank Dunia, iaitu AS$8.30 sehari, mencecah AS$1.65 trilion.

    Oxfam menggesa pemimpin G20 supaya memperjuangkan pembentukan sebuah badan antarabangsa bagi menangani jurang kekayaan serta memperhebat usaha mengenakan cukai terhadap golongan yang terlalu kaya.

    Isu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi dijangka menjadi antara topik utama yang dibincangkan pada sidang kemuncak itu. – Bernama

    Pasukan Tindakan Glasgow memaparkan mesej menuntut keadilan hutang pada menara Sandton di Johannesburg pada 19 November, menjelang sidang kemuncak pemimpin G20. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda