Thursday, February 27, 2025
22.6 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

‘Si mata biru’ permata Pulau Pangkor

LUMUT, 31 JAN – Bagi pelancong domestik khususnya, tidak sah kunjungan ke destinasi peranginan bebas cukai, Pulau Pangkor, Perak jika tidak membawa pulang hasil laut yang terkenal iaitu ikan bilis mata biru , baik sebagai buah tangan ataupun untuk kegunaan sendiri.  

Berpeluang mengikuti seorang nelayan bilis yang juga peniaga, Muthu turun ke laut bagi menangkap ‘permata’ Pulau Pangkor itu baru-baru ini, Bernama menyaksikan sisi jerih para nelayan untuk mendaratkan hasil laut tersebut dan memahami kewajaran harga premium yang dikenakan.   

Cabaran memikat ‘si mata biru’

Muthu, 60, merupakan anak jati Pulau Pangkor dan telah lebih tiga dekad menjadi nelayan ikan bilis.

“Ikan bilis mata biru dikenali sedemikian kerana memiliki mata biru, bersaiz kecil, tidak bertulang ataupun perut. Akan tetapi, tidak semua ikan bilis ini bermata biru. Cuma saiznya sahaja sama, iaitu sekitar satu sentimeter,” katanya.

Menurutnya, antara keistimewaan ikan bilis itu berbanding bilis lain ialah tidak perlu dikopek sebelum dimasak. Rasanya juga kurang masin serta rangup sesuai dijadikan perencah untuk pelbagai jenis masakan lain.

Seawal jam 4:30 pagi, Bernama menaiki bot bersama-sama Muthu dan 20 orang pekerja, membelah perairan Pulau Pangkor. Meskipun cuaca tenang, suasana laut yang gelap-gelita sedikit-sebanyak mencetuskan rasa gerun di hati.

“Kita turun ke laut setiap hari dari  pukul 5 hingga 8 pagi dan dari 2 petang hingga sekitar 8 malam. Namun, segalanya bergantung pada cuaca. Jika cerah (cuaca), akan ada hasil dibawa pulang,  tetapi jika hujan lebat, kita tidak ke laut kerana kawanan ikan bilis tidak akan timbul di permukaan air.

“Kita juga tak boleh lakukan tangkapan sesuka hati, sebaliknya wajib mematuhi arahan pihak berkuasa, iaitu perlu melebihi jarak satu batu nautika dari pesisir pantai untuk melakukan aktiviti memukat bilis,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.

Ikan bilis mata biru yang ditangkap terus diproses di atas kapal. – Bernama

Rebus ikan atas kapal 

Bercerita lanjut tentang penangkapan ikan bilis itu, Muthu berkata pada zaman sebelum kemudahan teknologi, nelayan bergantung pada pengamatan dan pengalaman mereka untuk mencari ‘lubuk’ hasil laut, termasuk ikan bilis.

Namun kini teknologi sonar digunakan bagi tujuan itu dan umumnya mereka tidak menghadapi masalah mengenal pasti kawasan yang menjadi tumpuan kawanan ikan bilis. 

Katanya penggunaan sistem itu juga menjimatkan masa selain memudahkan dirinya selaku tekong, memberi arahan kepada 20 pekerja untuk melabuhkan pukat jerut bilis.

“Bila kita pakai sistem sonar ini, masa bukan sahaja dapat dijimatkan malah kita boleh turunkan pukat lebih dari tujuh atau lapan kali dalam satu sesi (pagi atau petang) tangkapan. Bagi saya cara ini memudahkan dan kuranglah beban kita untuk mencari lubuk,” katanya.

Menurut Muthu, lazimnya beliau mampu menaikkan 400 hingga 900 kilogram (kg) ikan bilis pelbagai saiz setiap hari.

“Selepas dinaikkan, ikan bilis ini kita terus rebus dalam tempoh kurang daripada dua minit. Kemudian kita tuskan. Proses ini bagi mengurangkan rasa masin ikan bilis tersebut.

“Setahu saya, teknik merebus ini hanya diamalkan oleh nelayan ikan bilis di Pangkor sahaja, tidak dibuat oleh nelayan di tempat lain seperti Kedah dan Sabah yang turut mengeluarkan ikan bilis mata biru,” jelasnya.

Sambung beliau lagi, selepas tiba di jeti pendaratan, ikan bilis terbabit akan dikeringkan di atas pelantar khas dan proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 10 jam.

Atas & Bawah: Pekerja-pekerja giat memproses ikan bilis mata biru. – Bernama

 

“Selepas proses pengeringan, ikan bilis ini akan digredkan mengikut saiz menerusi satu mesin khas dan kemudiannya akan dibungkus dalam pek 25 kg sebelum dijual kepada pemborong dan peraih pada harga sekitar RM750 hingga RM2,000 satu pek, bergantung pada gred,” katanya.

Rasa sekali pasti terpikat  

Sementara itu, peniaga ikan bilis, Oh Teck Soon, 50, berkata ikan bilis mata biru di Pulau Pangkor sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada para pelancong yang membanjiri pulau tersebut, terutama ketika musim cuti perayaan atau sekolah.

Peniaga Oh Teck Soon menunjukkan ikan bilis mata biru yang dijual di premisnya. – Bernama

“Biarpun ada yang mendakwa (rasa) ikan bilis mata biru di negeri lain seperti Kedah dan Sabah tiada beza dengan Pulau Pangkor, rata-rata mereka akan berubah fikiran setelah merasa sendiri ikan bilis mata biru dari pulau ini,” katanya.

Oh berkata lazimnya kualiti ikan bilis biasa mudah terjejas, seperti senang hancur dan berdebu jika terdedah kepada persekitaran dalam tempoh yang lama.  Namun, keadaan itu tidak berlaku pada ikan bilis mata biru Pulau Pangkor yang kualiti serta kesegarannya kekal seperti ketika tiba di kedai.

“Yang akan bertukar cuma warnanya kepada kekuning-kuningan, bergantung pada suhu dan cuaca ketika ia terdedah.  Selain daripada itu tiada apa yang berubah. Bahkan rasanya juga masih sama,” kata Oh.

Anak jati Pangkor ini yang telah menjalankan perniagaan itu sejak 28 tahun lalu, berkata pelbagai variasi ikan bilis dijual di kedainya namun antara yang paling popular ialah jenis yang telah dikopek.

“Selain ikan bilis mata biru, ikan bilis yang telah dikopek juga antara yang popular serta sering dibeli oleh pelanggan kerana ia memudahkan mereka (pelanggan) apabila mahu memasak,” katanya.

Atas & Bawah: Para pelanggan melihat pelbagai jenis ikan bilis mata biru.- Bernama

Tentang harga pula, beliau berkata bergantung pada gred dan kualiti, umumnya harga bagi 100 gram ikan bilis ialah RM5 hingga RM20. 

“Harga yang diletakkan banyak bergantung pada saiz dan kualitinya. Jika di Pangkor, lebih kecil saiz ikan bilis berkenaan maka harganya juga akan lebih mahal berbanding saiz yang lebih besar,” katanya.

Menurut Oh, ikan bilis mata biru Pulau Pangkor bukan hanya popular dalam kalangan pelancong domestik tetapi turut disukai oleh pengunjung asing dari Amerika Syarikat, Jerman, Arab Saudi dan Afrika Selatan. – Bernama

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda