Oleh Raz AS
Apabila ditanya mengenai ikan apakah yang mempunyai renangan paling laju di dunia, tentu sahaja ramai yang sudah mengetahui bahawa ikan layaranlah yang mengungguli gelaran sebagai ikan terpantas di dunia.
Ikan layaran atau juga dikenali sebagai sailfish dalam Bahasa Inggerisnya, merupakan spesies ikan daripada keluarga istiophoridae genus istiophorus, iaitu spesies ikan berparuh, seperti marlin dan todak.
Apa yang membezakan ikan layaran daripada sepupunya, marlin dan todak, adalah sirip dorsalnya yang panjang dan lebar, seakan-akan layar bahtera, di sepanjang bahagian belakangnya, dengan badannya yang berwarna biru kelabu.
Di seluruh dunia terdapat dua spesies ikan layaran yang telah dikenal pasti, iaitu ikan layaran atlantik atau istiophorus albican, yang menghuni lautan Atlantik yang bersuhu lebih dingin, dan ikan layaran indo-pasifik atau istiophorus platypterus yang menghuni lautan India dan Pasifik termasuk di perairan negara kita. Meskipun begitu ikan layaran indo-pasifik juga boleh didapati di kawasan lautan Atlantik di laut Mediterranean.
Secara amnya, ikan layaran boleh membesar sehingga kira-kira tiga meter panjang dengan berat sehingga 100kg, dan jangka hayatnya yang boleh mencecah sehingga kira-kira 13 hingga 15 tahun.

Dengan catatan kepantasan renangannya yang boleh mencecah sehingga hampir 70 batu/jam iaitu kira-kira 112km/jam telah menobatkan sebagai ikan terpantas di dunia meskipun tidak semua pakar bersetuju dengan catatan masa tersebut.
Siripnya yang lebar selalunya akan berada dalam keadaan dilipat kecuali semasa menyerang mangsanya. Ikan pelagik ini akan menyerang menggunakan paruhnya yang panjang, dengan menghambat-hambatkannya ke kiri dan ke kanan untuk mencederakan mangsa yang terdiri daripada ikan-ikan kecil sebelum memakannya. Selain itu ikan ini juga menjadikan moluska dan krustasea sebagai dietnya.
Dalam arena dunia pancing, ikan layaran dianggap sebagai salah satu spesies game fish terhebat di dunia kerana daya juangnya yang tinggi dan bijak melepaskan diri dengan aksi melompat-lompatnya yang tidak kunjung sudah. Oleh itu tidak hairanlah sesiapa sahaja yang pernah menewaskannya dianggap sudah mempunyai ‘lesen’ memancing.
Walaupun terkenal di dunia pancing namun ikan ini tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam industri perikanan. Di sesetengah tempat penangkapan ikan layaran sama sekali diharamkan kecuali sekadar untuk rekreasi dengan kaedah ‘catch and release’.