SELAMA lebih kurang sedekad, penduduk di kawasan kejiranan O Calvario dan A Doblada di bandar Vigo, Sepanyol, telah hidup dalam ketakutan apabila mendapati kereta mereka dicalarkan atau pencungkil gigi dimasukkan ke dalam lubang kunci kenderaan. Siapakah di sebalik dalang itu? Seorang lelaki berusia 79 tahun yang dilaporkan telah merosakkan lebih 1,000 kereta pada tahun lepas sahaja.
Selalunya, si pelaku cuba memastikan bahawa tiada saksi mata melihatnya sebelum merosakkan harta benda seseorang, namun itu bukanlah cara Jose Antonio V., seorang lelaki berusia 79 tahun dari Vigo, melakukannya. Dia mencalar kereta yang berada di tempat letak kereta dan memasukkan pencungkil gigi ke dalam lubang kunci kenderaan di siang hari, tanpa menghiraukan orang-orang sekeliling. Dan jika seseorang itu berani berkata sesuatu atau cuba menghentikannya, lelaki warga emas itu akan bertindak agresif dan sering memukul orang dengan tongkatnya. Polis menganggarkan bahawa pada tahun lepas sahaja, si perosak harta awam itu telah merosakkan sekitar 1,120 kereta, dan telah melakukan permulaan yang ‘hebat’ pada tahun 2019, dengan bukti yang mengaitkannya kepada lebih daripada 120 kenderaan yang dirosakkan.
Adalah logik untuk mengandaikan bahawa mereka yang begitu komited untuk memugut kereta-kereta yang diletakkan di tempat letak kereta itu mungkin mengalami masalah mental, namun doktor yang memeriksanya pada tahun lalu mengatakan bahawa dia dalam keadaan waras dan baik-baik sahaja. Dia bersetuju untuk diperiksa di hospital untuk menyatakan keadaan mentalnya, atas permintaan pihak polis tempatan, tetapi selepas tiga hari, doktor yang memeriksanya membenarkannya pulang dengan keadaan kesihatan mental yang baik. Para doktor menyimpulkan bahawa satu-satunya keadaan yang dialaminya adalah kekurangan empati.
“Dia tidak sakit, namun dia merasa berang dan marah dengan dunia,” kata seorang pakar polis kepada La Voz de Galicia. “Dia dianggap seorang lelaki yang degil.”
Kedegilan adalah penerangan yang tepat terhadap pemugut warga emas ini. Walaupun telah ditangkap berpuluh-puluh kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini atas kerosakan harta benda dan serangan fizikal terhadap orang lain, dia enggan untuk mengubah sikapnya itu. Dia keluar dan berada di jalan dan mencalar kereta dengan menggunakan kunci atau pencungkil gigi kayu ke dalam lubang kunci mereka.
Jose begitu terkenal di dua kawasan kejiranan Vigo. Hampir semua penduduk tempatan mengetahui dirinya, dan terdapat juga poster amaran yang memaparkan wajahnya di setiap blok-blok bangunan di sana, jadi bagi mereka yang masih tidak mengetahuinya, mereka akan tahu bagaimana rupa dirinya.
Seorang jurucakap bagi Citizen Security Brigade of the Vigo Police Station memberitahu pemberita bahawa penduduk di kawasan O Calvario dan A Doblada begitu takut kepada lelaki berusia 79 tahun itu. Mereka takut untuk meninggalkan kereta-kereta mereka yang diletakkan di tempat awam, dan juga berhadapan dengannya semasa melakukan ‘aktiviti’ memugut itu. Si pemugut itu sebelum ini telah menyerang beberapa mangsa dengan tongkat kayu atau sebatang payung, bahkan juga pernah mematahkan hidung seorang lelaki dan memecahkan cermin matanya.
Polis tempatan menganggarkan bahawa Jose Antonio V. telah menyebabkan kerugian sekitar 500,000 euro hanya pada tahun lepas, namun adalah sukar untuk menghentikannya. Mereka telah menangkapnya pada lebih berbelasan kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sambil mengeluarkan denda yang banyak padanya, namun sebaik sahaja mereka membebaskannya, dia mula melakukannya lagi. – Agensi