Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Si pengintip simpan gambar untuk kepuasan dipenjara 24 bulan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Mahkamah Majistret di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun berikutan pengakuan bersalahnya terhadap tujuh pertuduhan merakam gambar tidak sopan ketika wanita berada dalam bilik air di tempatnya bekerja.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi mendedahkan di mahkamah bahawa Mohammad Nurhafiz bin Haji Bogaibah bekerja sebagai penghantar untuk sebuah syarikat swasta di Kampung Masin.

    Dia mengakui telah mengambil banyak gambar rakan sekerja wanita di dalam tandas antara 10 Julai hingga 10 Ogos lalu.

    Perbuatan defendan terbongkar pada 19 Ogos apabila siasatan dalaman dilancarkan oleh pihak pengurusan berikutan aduan yang dibuat oleh pekerja wanita yang kerap melihat defendan memasuki tandas wanita di tempat kerja.

    Semasa siasatan, empat rakan sekerja wanita berjaya mengenal pasti diri mereka melalui gambar yang ditemui dalam telefon bimbit defendan dan defendan mengakui kesalahannya.

    Mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan defendan. Dia juga telah diberhentikan kerja serta-merta.

    Defendan mengakui bahawa dia menangkap dan menyimpan semua gambar untuk kepuasan seksual.

    Sementara itu, kes didengarkan di hadapan Majistret Syaffina Shahif.

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda