BANGKOK, 13 Mac – Seekor penyu yang digelar ‘Tabung’ kerana menelan hampir 1,000 syiling kini mengambil kelas berenang dalam program pemulihan berikutan pembedahan pembuangan syiling-syiling berkenaan oleh pakar-pakar bedah Thailand, baru-baru ini.
Penyu yang tidak berdaya itu menjalani pembedahan selama tujuh jam di Bangkok minggu lepas untuk membuang 5 kilogram syiling dari perutnya yang terhasil daripada pembuangan syiling memohon nasib baik pada kolam tempatnya disimpan.
Kisah perjuangannya dan kejayaan pembedahan itu menjadi tular, dengan beberapa berita utama di seluruh dunia.
Hari ini, penyu berusia 25 tahun itu yang digelar ‘Omsin’ (Tabung), berenang di sekeliling kolam kecil dengan mudah.
Nantarika Chansue, doktor haiwan yang bertanggungjawab di pusat kajian akuatik hospital Chulalongkorn, berkata dia begitu gembira dengan pergerakan yang dibuat oleh Omsin pada siripnya sejak pembedahan itu.

“Sebelum ini dia tidak menggunakan langsung bahagian kirinya, kerana setiap kali dia menggerakkannya, berkemungkinan ia berasa sakit,” dia memberitahu AFP, tatkala Omsin berenang-renang.
“Lihat keadaannya sekarang, ia kembali menggunakan semua anggotanya secara efektif.”
Reptilia yang tidak berdaya itu hidup selama lebih dua dekad di sebuah taman awam kecil di Wilayah Chonburi.
Para pengunjung melontar syiling ke dalam kolamnya untuk meminta nasib yang baik.
Nantarika berkata laporan-laporan media antarabangsa telah menambah bonus untuk membuatkan penduduk Thailand memikir dua kali sebelum melontar syiling ke dalam kolam di mana binatang-binatang tinggal.
“Kerana ini, semua kolam yang saya ketahui kini dibersihkan dan dibuang syiling-syiling di dalamnya serta diberikan notis tidak dibenarkan melontar syiling,” katanya.
Doktor-doktor haiwan Chulalongkorn berharap Omsin satu hari nanti akan berupaya dikembalikan ke lautan memandangkan ia mampu hidup lagi bagi tempoh 60 tahun.
Pertama sekali, mereka akan mengajarnya bagaimana untuk berenang dan kemudian bagaimana untuk menyelam, satu tugasan yang memerlukannya untuk membina kekuatan paru-parunya.
Kemudian mereka akan membawanya berenang di lautan menggunakan rantai khas yang dicipta untuk penyu yang membolehkan para penyelidik menaikkannya semula ke atas.
Ditanya sama ada ia akan tahu bagaimana untuk berenang di lautan biru, Nantarika menjawab: “Sudah tentu. Ia seperti kita berada di dalam penjara selama 20 tahun, anda tahu, kita tetap tahu bagaimana untuk hidup, jadi saya percaya cara yang terbaik adalah untuk melepaskannya.” – AFP