Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    SIA henti khidmat makanan bila isyarat tali pinggang keledar dinyalakan

    SINGAPURA, 24 MEI – Singapore Airlines (SIA) akan menghentikan khidmat menyediakan makanan apabila isyarat tali pinggang keledar dinyalakan sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih berhati-hati selepas insiden yang berlaku pada penerbangan SQ321.

    Jurucakap SIA dalam kenyataan pada Jumaat berkata anak kapal kini juga perlu kembali ke tempat duduk dan memasang tali pinggang keselamatan mereka apabila isyarat keselamatan itu dinyalakan.

    “Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan lebih berhati-hati yang diguna pakai SIA bagi situasi  apabila mengalami gelora udara dalam penerbangan selepas insiden SQ321,” kata jurucakap itu.

    Penerbangan SQ321 dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara ekstrem secara tiba-tiba, memaksa juruterbang untuk mengisytiharkan keadaan kecemasan perubatan dan mengalihkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok pada Selasa.

    Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa orang cedera. Setakat semalam, 46 penumpang dan dua anak kapal masih dirawat di hospital.

    Sementara itu, jurucakap tersebut berkata langkah-langkah keselamatan sedia ada akan diteruskan termasuk menggantung khidmat menyediakan minuman panas apabila tanda keselamatan dipasang.

    Gambar freepik

    Semasa keadaan cuaca buruk terutamanya gelora udara, anak kapal akan terus memastikan semua barang dan peralatan di dalam kabin dan dapur disimpan dengan selamat untuk meminimumkan risiko kecederaan.

    Anak kapal juga akan terus menasihatkan penumpang untuk kembali ke tempat duduk dan memasang tali pinggang keselamatan serta memantau pelanggan yang mungkin memerlukan bantuan, termasuk mereka yang berada di dalam tandas.

    “SIA akan terus mengkaji semula proses kami kerana keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan kami,” kata jurucakap itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...