SIA kenalkan produk kabin baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Singapore Airlines (SIA) akan memperkenalkan produk kabin baharu yang dinanti-nantikan dalam pesawat Boeing 737-8 bagi penerbangan di antara Singapura dan Brunei Darussalam bermula 24 Disember di mana SIA mengendalikan tiga penerbangan setiap minggu dalam laluan berkenaan pada Isnin, Jumaat dan Ahad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SIA, di sini, kesemua pesawat SIA 737-8 mempunyai 154 tempat duduk dalam dua kelas iaitu 10 tempat duduk di dalam kelas perniagaan dan 144 tempat duduk di dalam kelas ekonomi dengan produk-produk kabin baharu yang mengetengahkan elemen tempahan khas yang telah direka khusus bagi pelanggan SIA.

Kenyataan menyatakan bahawa kerusi kelas perniagaan telah direka oleh Factorydesign yang berpangkalan di London dan dibina bagi SIA oleh Thompson Aero Seating.

Sementara itu, kabin Kelas Ekonomi akan mengetengahkan generasi terkini kerusi slim-line yang dibina oleh Collins Aerospace di mana kabin 737-8 direka dengan tumpuan khas kepada ciri-ciri ergonomik, membantu untuk memastikan semua dapat dicapai dengan mudah oleh para pelanggan.

Pesawat itu pula mengetengahkan sistem hiburan dalam penerbangan X-Series Panasonic yang membolehkan semua pelanggan menikmati kandungan hiburan KrisWorld terkini.

Pesawat berkenaan juga dilengkapkan dengan perkhidmatan Wi-Fi dalam penerbangan Panasonic serta juga perkhidmatan kesaling-hubungan data mudah alih.

SIA telah melaburkan sebanyak kira-kira $230 juta ke atas pembangunan, rekaan dan pemasangan produk-produk kabin terkini industri berkenaan di mana ia mengangkat standard bagi penerbangan dekat dan sederhana menerusi pesawat tersebut.