BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Singapore Airlines (SIA) telah mengumumkan bahawa penerbangan antara Brunei dan Singapura akan disambung kembali bermula 1 November ini dengan perkhidmatan berjadual mingguan.
Penerbangan berkenaan akan beroperasi menggunakan pesawat Boeing 737-800 dengan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 kelas ekonomi, menurut kenyataan yang dikeluarkan SIA di sini.
Penerbangan pertama dari Brunei (SQ147), pada 1 November, akan membawa penumpang yang hendak pergi ke Singapura dan ke destinasi seterusnya seperti Jakarta, London dan Los Angeles.
Kenyataan menekankan bahawa SIA telah mengetatkan langkah-langkah pembersihan mereka dan memperkenalkan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan baharu yang direka untuk melindungi kesejahteraan penumpang.
Semua pesawat SIA dilengkapi dengan penapis HEPA, yang menghapuskan lebih 99.9 peratus mikrob di udara.
Udara kabin juga disegarkan setiap dua hingga tiga minit sepanjang penerbangan.
Semua pesawat SIA, tambah kenyataan, juga dibersihkan sepenuhnya sebelum kemasukan penumpang dengan perhatian tambahan diberikan untuk mensanitasi permukaan seperti meja-meja dulang dan skrin hiburan belakang kerusi.
Tandas juga kerap dibersihkan sepanjang penerbangan dengan disinfektan berkuasa tinggi.
Pada masa ini, terdapat persetujuan laluan hijau timbal balik antara Singapura dan Brunei untuk memudahkan perjalanan penting antara kedua-dua buah negara.
Singapura telah mengurangkan sekatan-sekatan sempadan bagi pelawat dari Brunei menerusi skim Air Travel Pass bermula 8 September lalu.