DETROIT, 26 FEB – Seorang lelaki dibebaskan dari penjara semalam selepas menjalani hukuman penjara hampir 21 tahun kerana didakwa membunuh dua pemburu rusa pada 1990.
Jeff Titus, 71, berkata beliau berasa terkejut ketika keluar dari penjara di Coldwater, selepas pihak berkuasa negeri mengakui bahawa pembunuh bersiri Ohio melakukan dua pembunuhan terbabit.
“Tiada lagi gari atau penjara. Saya tidak sabar untuk keluar dan berjalan di dalam hutan,” katanya.
Titus dibebaskan selepas hakim menolak sabitan atas tuduhan membunuh di bawah perjanjian antara pejabat peguam negara dan Klinik Innocence di sekolah undang-undang Universiti Michigan.
Hak Titus dicabuli dalam perbicaraan pada 2002 apabila peguamnya tidak pernah memaklumkan kepada beliau bahawa pegawai penyiasat di Kalamazoo County sudah mengumpulkan bukti beberapa tahun sebelumnya terhadap Thomas Dillon.
Pendakwa raya tempatan pada ketika itu tidak mengetahui mengenai Dillon, yang juga dikenali sebagai pembunuh bersiri Ohio.
Peguam Negara, Dana Nessel mengakui bahawa ia adalah ‘bukti kukuh’ yang mungkin menghalang Titus daripada didakwa. – AP