Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siakam akhiri kemenangan Celtics

    TORONTO, KANADA, 29 MAC – Pascal Siakam menyumbang 40 mata ketika Toronto Raptors menamatkan siri kemenangan enam perlawanan Boston Celtics dengan kemenangan pada masa tambahan 115-112 semalam.

    Siakam dan Raptors mengambil kesempatan ke atas barisan Celtics yang kekurangan pemain untuk merebut kemenangan penting yang merangsang harapan Toronto untuk menjamin kelayakan automatik pada akhir musim.

    Kemenangan itu membawa kedudukan Toronto seri dengan Chicago Bulls pada 43 kemenangan dan 32 kekalahan dalam Eastern Conference, di depan Cleveland Cavaliers yang ketinggalan satu tempat di luar playoff automatik di tempat ketujuh.

    Celtics telah menjadi pasukan yang terbaik dalam NBA baru-baru ini, bangkit meraih 11 kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir mereka sebelum pertarungan semalam.

    Namun Boston dikejutkan semalam dengan pengesahan pemain tengah Robert Williams III berdepan penyingkiran lama disebabkan kecederaan lutut, sementara Jaylen Brown dan Jayson Tatum turut diketepikan.

    Aksi Gary Trent Jr (kiri) merampas bola daripada Aaron Nesmith semasa perlawanan NBA di antara Toronto Raptors dan Boston Celtics di Toronto pada 28 Mac. – AFP

    Ia sekali gus membuka laluan kepada Siakam untuk mengambil alih di Arena ScotiaBank, Toronto dengan aksi cemerlang mengutip 40 mata serta 13 rebound, tiga steal dan dua block.

    Fred VanVleet dan O.G. Anunoby menambah 14 mata masing-masing sementara Thaddeus Young dan Gary Trent Jr menyumbang 12 mata setiap seorang.

    “Ia merupakan kemenangan pasukan yang hebat,” kata Siakam, yang diketepikan selama beberapa bulan pada tahun lalu selepas menjalani pembedahan bahu.

    “Ia adalah perjalanan yang lama, maka saya berasa teruja untuk kembali dan bekerja keras, hanya ingin beraksi dengan segala yang ada.

    “Kami merupakan satu pasukan. Kami mempunyai mentaliti untuk keluar dan memenangi perlawanan.”

    Marcus Smart memimpin jaringan Celtics dengan 28 mata, manakala Grant Williams berakhir dengan 17 mata.

    Kekalahan Boston bermakna Miami kembali semula ke kedudukan teratas dalam Eastern Conference dengan kemenangan 123-200 ke atas Sacramento Kings di Florida. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda