JAKARTA, 26 FEB – Pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran kepada petani dan syarikat perladangan supaya bersiap siaga menghadapi kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.
Ini berikutan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan di Asia Tenggara susulan corak cuaca El Nino, yang dijangka mengakibatkan musim panas berpanjangan, menurut petikan dari laman Berita Harian.
Sumatera Tengah, tempat dari jerebu sering dikesan berarak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, biasanya mengalami cuaca kering dua kali setahun, sekitar Mac dan Oktober.
Ketua Agensi Kaji Cuaca, Iklim dan Geofizik, Dr Dwikorita Karnawati, berkata selepas tiga tahun berturut – 2020, 2021 dan 2022 – cuaca kebanyakannya basah, petani dan syarikat perladangan mungkin terperangkap pada 2023, apabila ada 50 peratus kemungkinan El Nino berlaku.
“Hujan akan kurang bukan pada Oktober sahaja… sebenarnya, kami juga menyaksikan hujan kurang dalam Februari,” kata beliau.
Beliau menarik perhatian cuaca kering sudah di alami di Riau, sebahagian Jambi dan Sumatera Utara, sebahagian Sulawesi dan barat laut wilayah Papua Barat.
Semua bahagian lain di Indonesia mengalami musim kering sekali sahaja, antara Mei dan September.
“Kita harus berwaspada, terutama di Riau dan Jambi, bagi kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan kawasan perladangan,” kata Dr Dwikorita.
Menurutnya, kejadian cuaca basah, atau La Nina, tiga tahun berturut-turut mendorong kebanyakan petani dan syarikat menggunakan kaedah tebas dan bakar bagi membersihkan kawasan perladangan.
Tetapi tindakan sedemikian tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca sangat kering pada 2023.
Indonesia mengalami berjerebu pada beberapa tahun antara 1997 dan 2015 apabila petani dan syarikat perladangan mengamalkan kaedah tebas dan bakar. – Agensi