Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siap sedia upacara terakhir

    BANGKOK, 13 Okt – Sami-sami mengetuai upacara suram di seluruh Thailand hari ini untuk memperingati setahun sejak kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej, ketika seluruh negara yang tengah berdukacita bersiap sedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada raja yang dikasihi dalam upacara pembakaran mayat pada bulan ini.

    Dihormati seperti separa dewa dan disifatkan sebagai ‘’bapa’ kepada semua rakyat Thailand, Bhumibol memerintah dengan penuh kasih sayang ketika pemerintahan baginda selama 70 tahun.

    Tahun lalu telah memperlihatkan suasana-suasana perkabungan di seluruh negara beraja itu, dengan ramai rakyat Thailand tidak mengenakan pakaian berwarna dan hanya mengenakan pakaian berwarna putih dan hitam bagi kebanyakan tempoh tahun itu.

    Suasana suram amat mendalam bulan ini ketika negara beraja ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada raja pada upacara pembakaran mayat pada 26 Oktober, sebahagian daripada upacara pengebumian selama lima hari.

    Seekor gajah putih menaikkan kakinya ketika penduduk berkumpul memberi penghormatan ke atas mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, di sebuah padang di Ayutthaya pada 13 Oktober. – AFP

    Hari ini rakyat Thailand yang mengenakan pakaian serba hitam pergi ke kuil-kuil, agensi-agensi kerajaan dan halaman hospital Bangkok tempat Bhumibol mangkat tahun lalu untuk memberikan sedekah kepada sami-sami Buddha dalam memberi penghormatan kepada baginda.

    “Saya tidak mahu upacara pembakaran mayat mengambil tempat. Saya tidak sanggup menghadapinya,” Kanokporn Chavasith, 57 tahun, salah seorang dari beratus-ratus orang yang berhimpun di luar Istana Besar di Bangkok, berkata dengan tangisannya.

    Seorang lagi warga Thailand yang amat bersedih, Chalita U-Sap, 61 tahun menambah, “Saya mahu baginda tetap bersama kami selama-lamanya.”

    Kebanyakan pejabat ditutup bagi cuti awam dan negara merancang untuk mengadakan tafakur pada pukul 3:52 petang, waktu sebenar raja mangkat pada usia 88 tahun setelah tidak sihat selama bertahun-tahun lamanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda