Siap siaga tangani insiden kecemasan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Latihan-latihan tindak balas kecemasan bagi insiden-insiden keselamatan sangat penting ke arah memastikan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi tetap siap siaga bagi menangani sebarang insiden kecemasan yang tidak diduga.

Ke arah itu, satu Latihan Keselamatan Maritim (MSE) telah pun diadakan pada pagi ini di Jeti Terminal Penumpang Serasa di Serasa, Muara, hari ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu, di sini, hari ini, sebagai persediaan bagi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang akan diadakan pada Mac 2020 yang akan datang, ahli-ahli MMN telah pun dijemput untuk menyaksikan latihan berkenaan.

Hadir menyaksikan latihan bersama ahli-ahli MMN yang dijemput ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, ahli-ahli Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP), setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Latihan bermatlamat mendemonstrasikan kesiapsiagaan kecemasan dan krisis agensi-agensi seperti PBMP di samping menguji pelan kecemasan bagi menangani pasca kejadian sebarang situasi kecemasan. Latihan simulasi melibatkan kapal Shuttle Hope yang berlepas dari Terminal Penumpang Serasa menuju ke Labuan.

Kapal berkenaan kemudiannya mengalami kegagalan enjin disebabkan oleh kebakaran. Dengan itu, kapal tersebut tidak berupaya untuk mengendalikan perjalanan dan mula hanyut ke arah buoy SPM Hengyi dengan seorang krew kapal cedera.

Ketua kapal Shuttle Hope segera menghubungi Perkhidmatan Trafik Perkapalan Muara (VTS) untuk memohon bantuan. VTS Muara setelah menerima panggilan tersebut mengaktifkan protokol kecemasan yang disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan para jemputan. Lawatan disusun kementerian untuk ahli-ahli MMN bagi memberikan tinjauan yang lebih dekat kepada inisiatif-inisiatif strategik seperti Keselamatan dan Kesejahteraan terutama bagi orang ramai yang merupakan satu keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara menyaksikan Latihan Keselamatan Maritim (MSE) di Jeti Terminal Penumpang Serasa di Serasa, Muara, kelmarin. – Gambar oleh Kem. Pengangkutan dan Infokomunikasi