Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah merasmikan latihan bersama yang dikenali sebagai Hikmat Bersatu (HB VI) hari ini, di Berakas Garison.
Eksesais tersebut, yang akan berakhir hujung bulan ini, melibatkan semua unit angkatan tentera, iaitu Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Markas Angkatan Bersama ABDBdan Rejimen Pasukan Khas (RPK).
Eksesais tersebut turut disertai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Pasukan Simpanan Gurkha, Batalion Kedua Royal Gurkha Rifles, British Forces Brunei dan Pejabat-pejabat Daerah yang turut melibatkan kawasan perairan Negara Brunei Darussalam dan beberapa kawasan pendalaman, perumahan dan komersial di kesemua daerah.
Hadir bagi merasmikan Eksesais HB VI ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, yang telah memeriksa perbarisan yang diketuai oleh Ketua Doktrin, Tentera Darat Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Ezan Sazali bin Haji Osman.
Pemerintah ABDB dalam kata alu-aluannya mengongsikan bahawa sebagai institusi keselamatan, ABDB hendaklah sentiasa komited dalam mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan kesediaan yang tinggi bagi menangani apa jua ancaman.
Bagi mencapai tahap itu, menurut beliau, ia memerlukan pusingan latihan atau training cycle yang bersistematik yang membawa kepada latihan terbesar iaitu HB VI.
“Seperti mana juga dalam eksesais-eksesais sebelumnya, antara matlamat eksesais ini ialah menguji dan mengesahkan keupayaan ABDB dalam merancang serta melaksanakan operasi daripada yang rutin hinggalah yang kompleks, di samping membuat penelitian semula ke atas persediaan dan ketahanan logistik.
“Selain daripada itu juga, eksesais ini diharap dapat menjalinkan usaha sama dalam menyokong pendekatan whole of nation dan whole of government di mana ABDB berpeluang untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan yang lain seperti PPDB, Pasukan Simpanan Gurkha dan juga Batalion Kedua, Royal Gurkha Rifle serta memberikan kesempatan kepada beberapa anggota daripada pelbagai agensi kerajaan untuk turut serta sebagai pemerhati semasa eksesais ini dilaksanakan,” jelas Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah.
Beliau juga mengongsikan bahawa konsep eksesais bagi setiap HB VI adalah berbeza dan mengikut ancaman semasa.
Bagi konsep eksesais kali ini, ianya tertumpu kepada senario kontemporari yang realistik, terutama sekali ancaman bukan tradisional seperti membanteras keganasan dan peperangan asimetri yang sering dihadapi masa kini.
Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah turut menyeru kepada semua yang terlibat untuk mengambil peluang dari eksesais tersebut dalam sama-sama mengenalpasti jurang yang ada dari segi keupayaan aset, prosedur dan doktrin bagi peningkatan di masa akan datang.
Selain dari itu, beliau juga berharap agar eksesais itu dapat meningkatkan tahap profesionalisme warga ABDB dalam melaksanakan apa jua tugasan dengan penuh kompeten dan kepimpinan yang kredibel.
Di acara tersebut, Pemerintah ABDB juga menyempurnakan pemasangan toha kepada para pengendali dan wasit eksesais tersebut.
Turut hadir di majlis perasmian eksesais HB VI ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan pemerintah angkatan bersama ABDB, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota-anggota ABDB.
Eksesais HB VI bertujuan untuk memberikan peluang latihan yang komprehensif kepada ABDB dalam senario kontemporari bagi menilai tahap taktikal dan operasional ABDB dalam operasi bersama serta mengkaji Prosedur Tetap unit-unit di bawahnya.
Tumpuan khusus Eksesais HB VI adalah berhubung kait kepada ancaman keselamatan bukan tradisional termasuk anti-pengganasan dan pembanterasan aktiviti yang menyalahi undang-undang.