Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Sebagai persiapan Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Presiden I dan II DST 2017, ahli jawatankuasa kejohanan telah mengadakan sidang media perlawanan tersebut yang berlangsung di Restoran Terazza, Jerudong hari ini.
Sidang media berkenaan dipengerusikan oleh Haji Sharbini Mohiddin serta Setiausaha Kejohanan Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Abang.
Turut hadir bagi menyampaikan taklimat pengadilan semasa sidang media itu ialah Ketua Pegawas Pengadil, Awang Abdul Hamid bin Haji Hussain sebelum sesi soal jawab bersama perwakilan keempat-empat pasukan finalis dalam kedua-dua kejohanan Piala Presiden I dan II.
Dalam perlawanan akhir bagi merebut Piala Presiden I akan menyaksikan Pasukan Al-Idrus FT akan berhadapan dengan Pasukan I-Team, manakala dalam perlawanan akhir bagi merebut Piala Presiden II bakal menyaksikan Pasukan AH United bertemu Pasukan Al-Idrus SC.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Al-Idrus SC, Haji Mansor bin Haji Mohd Yassin ketika dihubungi Media Permata menegaskan pasukannya giat mengadakan perlawanan persahabatan untuk perlawanan akhir nanti.

Mengulas mengenai para pemain pula, katanya beliau menyarankan anak buahnya untuk membuat persiapan terakhir dengan membuat latihan kecergasan secara individu.
Jelasnya, para pemain dan kakitangan pasukannya berazam untuk memberikan tantangan yang hebat kepada Pasukan AH United dalam perlawanan itu serta berharap perlawanan itu akan berjalan dengan lancar dan penuh semangat kesukanan.
“Kami mahu menebus kekalahan kepada Pasukan AH United ketika pusingan awal walaupun kami sedar mereka bukanlah pasukan yang mudah dihadapi namun saya yakin dengan semangat pemain tidak mustahil bagi kami untuk menjadi juara kali ini,” ujar Haji Mansur.
Sementara itu, Ketua Jurulatih AH United, Awang Rosanan Samak ketika dihubungi pula menegaskan pasukanya turut mengadakan persiapan perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk berhadapan Pasukan Al-Idrus SC.
Beliau menyatakan rasa lega kerana pemain bebas kecederaan dan menegaskan pasukannya tidak akan menyerah kalah dalam perlawanan itu.
“Saya berharap supaya semua pemain dan warga pasukan akan berusaha sebaik mungkin untuk perlawanan ini,” ujarnya lagi.
Bekas pemain kebangsaan Brunei itu juga berharap melalui kejohanan ini tali persaudaraan dan silaturahim di kalangan pemain akan menjadi lebih bertambah erat.