Siapa latih dua jaguh pecut Malaysia akan dibincangkan – MSN

KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Soal sama ada dua jaguh pecut Malaysia Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan akan terus kekal berlatih di bawah kendalian Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller akan dibincangkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata perbincangan itu bakal melibatkan jurulatih mereka Mohd Poad Md Kassim dan Miller.
Kata Ahmad Shapawi, perkara tersebut perlu dibincangkan dalam suasana semangat kekeluargaan.

“Soal untuk kita tetapkan masa depan Haiqal dan Hafiz itu akan dibincangkan bersama jurulatih terlibat. Kita akan lihat perkembangan latihan dan laporan daripada Miller untuk apa rancangan seterusnya.

Kedua-dua jurulatih mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang perlu dipenuhi.

Sebaiknya perkara ini kita bincang sebagai keluarga jurulatih  dalam kita memberi yang terbaik kepada atlet,” katanya kepada pemberita.

Kedua-dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz (KL 2017) dan Muhammad Haiqal (Filipina 2019) itu kini berlatih bersama Miller susulan perancangan KOM untuk menempatkan secara berpusat kesemua atlet pecut elit kebangsaan di bawah kendalian jurulatih berasal dari Amerika Syarikat itu.

KOM sebelum ini menjelaskan keputusan meletakkan kedua-dua atlet itu di bawah kendalian Miller bukan berniat ‘merampas’, sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata keputusan itu antara lain bagi memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan kuartet 4x100m negara.– Bernama