Pada ketika ini, skim pelantikan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung sudah pun diubah namun belum ada seorang pun yang dilantik secara tetap.
Mengikut skim lama calon-calon terdiri dari bekas pegawai dan kakitangan kerajaan atau swasta dengan syarat umur 55 sehingga 60 tahun. Namun sekarang ianya telah diubah dari umur 30 sehingga 55 tahun sahaja.
Maka bakal penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung terdiri daripada orang-orang yang tidak banyak pengalaman bekerja dan boleh jadi mereka cuma mempunyai kelulusan yang tinggi.
Istilah penghulu membawa maksud seorang ketua. Begitu juga istilah perkataan ketua atau katua datang dari dua kata dasar ‘Ka’ dari perkataan orang yang lebih tua iaitu kakak dan ‘Tua’, membawa maksud orang yang berumur. Maka dengan ini selayaknya orang yang dilantik selaku penghulu atau katua adalah orang yang berumur dan berpengalaman tinggi.
Suatu ketika dahulu orang yang memegang jawatan sebagai penghulu mukim atau ketua itu seorang yang mempunyai ilmu yang tinggi sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi.
Berkebolehan menjadi imam dan mengetuai bacaan tahlil dan Doa Arwah. Mereka juga boleh jadi hakim atau penasihat dalam mukim atau kampung mereka.
Maka saya berpendapat dan mungkin yang lain juga, jawatan tersebut lebih layak dijawat oleh orang yang sudah mencapai umur matang.
Alai Katong