Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Berikutan rakaman video yang memaparkan keluhan salah seorang pemain bola sepak kebangsaan negara semasa ditemubual susulan kekalahan pasukan bola sepak kebangsaan negara di laman sendiri menentang pasukan Indonesia yang tular di kalangan warga net pada malam kelmarin telah mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial tempatan.
Menurut video berdurasi lebih 30 saat itu, pemain pasukan bola sepak kebangsaan itu melontarkan pandangannya terhadap prestasi skuad kebangsaan negara. Baginya, mereka telah mencuba dengan sehabis baik bagi menghadapi perlawanan pada malam tersebut namun tetap gagal meroleh kejayaan.
Oleh itu pemain itu berpandangan bahawa apa yang perlu diperbaiki bagi mengatasi masalah yang dihadapi pasukan bola sepak negara adalah ‘Orang Dalam’ yang patut untuk diperbaiki terlebih dahulu.
Baginya jika ‘Orang Dalam’ tidak diperbaiki maka bola sepak tanah air tidak akan dapat bertambah baik.
Persoalannya siapakah gerangan ‘Orang Dalam’ yang dimaksudkan pemain kebangsaan negara dalam rakaman video tersebut yang menjadi tanda tanya kepada warga net sekaligus mengundang pelbagai spekulasi dan pandangan.
Beberapa pengguna media sosial turut meluahkan pandangan tersendiri dengan menyokong kenyataan lantang yang dikeluarkan oleh pemain tersebut di samping ada yang menyeru agar siasatan dilakukan bagi mengatasi isu berkaitan.
Walau bagaimanapun, selaku warga net yang berhemah kita seharusnya lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang spekulasi negatif terhadap mana-mana pihak yang boleh mendatangkan fitnah atau salah sangka sebaliknya perlu menggunakan media sosial sebagai medium yang berkesan bagi menyebarkan kebaikan dan menghindari hasutan atau kebencian.
