Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Siapakah tukang kebun itu?

    Kisah ini diceritakan oleh ayah aku tentang pengalamannya sebagai seorang penjaga sebuah rumah agam sekitar lewat tahun 80an dahulu.

    Menurut cerita, rumah yang terletak di atas bukit itu milik seorang hartawan yang pada masa itu tenat dan terlantar koma di luar negara. Dikhabarkan keluarganya juga sudah lama tidak pulang ke rumah tersebut dan hanya mengupah orang untuk menjaganya.

    Setelah beberapa tahun bersara, ayah aku dimaklumkan tentang kerja ini dari salah seorang rakannya yang dikenali semasa di dalam perkhidmatan dahulu. Tanpa berfikir panjang, ayah aku menerima tawaran tersebut kerana bayaran upahnya yang agak lumayan serta kerjanya yang mudah bagi orang yang sudah berumur sepertinya.

    Bermula dari situ, setiap hari ayah aku gigih membonceng motosikalnya membelah jalan berbukit bukau dan berliku-liku untuk ke rumah tersebut. Kawasannya agak terpencil sehinggakan tidak banyak kenderaan yang lalu lalang di sana tambahan pula pada waktu lewat petang dan malam.

    Sejak hari pertama, dia tidak berseorangan di sana kerana turut ditemani oleh seorang tukang kebun yang menetap di rumah tersebut. Akan tetapi tukang kebun tadi seorang yang pekak dan bisu dan hanya akan berkomunikasi dengan bahasa isyarat mudah jika perlu.

    Gambar Freepik

    Hari silih berganti, sedar tidak sedar sudah hampir tiga bulan ayah aku bekerja di sana.

    Suatu malam datang seorang lelaki lingkungan 30an ke rumah tersebut menaiki sebuah kereta mewah dan memberitahu bahawa dia anak kepada tuan rumah tersebut. Katanya dia baru sahaja tiba dari Australia dan singgah di situ untuk mengambil sesuatu dari rumah tersebut. Ayah aku hanya membenarkan kerana dia ada menyimpan anak-anak kunci rumah tersebut.

    Tetapi hari itu kelibat tukang kebun tersebut tidak kelihatan. Ayah aku memberitahu lelaki tadi bahawa setiap hari tukang kebun itu ada di sini tetapi pada hari itu tidak tahu dia ke mana. Lelaki tadi agak kebingungan dan memberitahu bahawa mereka tidak pernah mengupah mana-mana tukang kebun bekerja di rumah tersebut. Ayah aku juga turut kebingungan mendengar penjelasan lelaki tadi.

    Selepas lelaki tadi pulang, ayah aku terus keseorangan di rumah agam itu kerana kelibat tukang kebun itu terus tidak lagi kelihatan. Ayah aku hanya menyedapkan hatinya dengan bersangka lelaki tadi yang mungkin tidak tahu berkemungkinan salah seorang dari ahli keluarga mereka yang mengupah tukang kebun tersebut.

    Keesokan harinya, ayah aku ke rumah tersebut selepas waktu Zohor kerana masih musykil dengan apa yang dikatakan lelaki semalam. Ternyata masih tiada siapa-siapa di rumah tersebut. Dia memberanikan dirinya memasuki bilik tukang kebun tersebut yang terletak di bahagian belakang dapur. Ternyata bilik tersebut tidak ubah seperti sebuah stor tinggal yang sudah lama tidak dimasuki. Di atas meja bilik tersebut, dia terjumpa beberapa keping gambar berukuran passport wajah tukang kebun tersebut lantas dia mengambil dan menyimpannya.

    Selama beberapa hari ayah aku demam dan tidak dapat pergi bekerja. Setelah demamnya kebah, dia mengambil keputusan untuk bertemu rakannya untuk memaklumkan dia tidak mahu lagi bekerja di sana. Ayah aku menceritakan segala-galanya kepada rakannya itu.

    Dia mengeluarkan gambar yang diambilnya tempoh hari dan menghulurkan kepada rakannya itu.

    “Ini la tukang kebun yang aku ceritakan tu” ujur ayah aku. Rakannya kelihatan kaget.

    “Mana mungkin Din! Ini gambar Dato ni,” jelas rakannya. Rakannya memberitahu bahawa orang di dalam gambar itu ialah Dato Ismail, tuan kepada rumah agam tersebut yang kini sedang terlantar koma di Amerika.

    Selepas hampir setahun kejadian itu, ayah aku dimaklumkan oleh rakannya itu bahawa Dato Ismail telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di negara Uncle Sam itu. Masih menjadi misteri dan tanda tanya sehingga ke hari ini siapakah tukang kebun yang ayah aku kenali selama tiga bulan itu? Takziah buat keluarga Allahyarham Dato Ismail. Semoga rohnya dicucuri rahmat dari yang Maha Esa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...