Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Siapsiaga risiko bencana

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setiap minit bagi setiap hari dalam setahun, begitulah kegigihan keutamaan Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) dalam melindungi nyawa dan cara hidup daripada cuaca, iklim dan air yang ekstrim.

    Perkara berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas dalam perutusannnya bersempena memperingati Hari Kajicuaca Sedunia bagi setiap 23 Mac.

    Bertepatan dengan tema pada tahun ini Early Warning and Early Action, Taalas menyatakan sambutan berkenaan bagi meraikan pencapaian hebat bagi khidmat kajicuaca dan hidrologi nasional dalam menambahbaik lagi sistem amaran awal.

    Dalam pada itu, ia juga bagi merakamkan penghargaan dalam memberi sorotan kepada kerja penting masyarakat khususnya dalam aspek pengurangan risiko bencana untuk memastikan amaran-amaran awal ini akan menghasilkan tindakan awal.

    Tetapi, tambahnya, kita tidak boleh leka kerana kita menghadapi banyak cabaran, terutama dalam memastikan amaran awal akan sampai kepada mereka yang paling terdedah dan amat memerlukannya.

    Perubahan iklim semakin ketara

    Taalas turut menekankan perubahan iklim sudah sangat ketara melalui adanya keadaan cuaca ekstrim di merata tempat di seluruh dunia.

    “Kita melihat semakin banyak gelombang haba, kemarau dan kebakaran hutan. Kita juga mempunyai lebih banyak wap air di atmosfera, menyebabkan turunan hujan ekstrim dan banjir yang berbahaya. Pemanasan laut menyebabkan ribut tropika yang lebih kuat dan kenaikan paras laut menaikkan lagi kesan impaknya.

    Perubahan iklim sudah sangat ketara melalui adanya keadaan cuaca ekstrim di merata tempat di seluruh dunia sehingga semakin banyak berlakunya gelombang haba, kemarau dan kebakaran hutan.

    “Kami menjangkakan trend negatif ini akan berterusan. Konsentrasi gas rumah hijau berada di tahap rekod, mengekalkan perubahan iklim untuk berterusan selama beberapa dekad yang akan datang, dan pencairan glasier dan kenaikan paras laut hingga berabad-abad,” ujarnya.

    Beliau turut menambah, selain mitigasi perubahan iklim, penyesuaian perubahan iklim juga adalah keutamaan. Sistem amaran awal adalah cara yang teguh untuk menyesuaikan diri.

    Menyelamat nyawa daripada bencana

    Pada tahun lalu, Taalas berkongsi WMO menerbitkan sebuah laporan mengenai statistik bencana bagi 50 tahun kebelakangan. Ia menunjukkan terdapat lebih daripada 11,000 bencana yang dikaitkan dengan cuaca, iklim dan bahaya berkaitan air di mana ia hampir sama dengan satu bencana setiap hari. Terdapat juga dua juta kematian atau 115 kematian setiap hari.

    “Bilangan bencana telah meningkat lima kali ganda dalam tempoh 50 tahun kebelakangan dan kos ekonomi telah melonjak. Tetapi berita baiknya adalah jumlah yang terkorban telah menurun secara mendadak. Kami lebih banyak menyelamatkan nyawa daripada sebelumnya.

    “Superkomputer, satelit dan kemajuan dalam sains telah banyak meningkatkan ketepatan ramalan kita. Amaran telefon bimbit dan aplikasi-aplikasi cuaca boleh sampai ke kawasan terpencil,” jelasnya lanjut.

    Kesiapsiagaan dan tindakan segera

    Taalas mengemukakan, WMO berperanan besar dalam mempromosikan ramalan berasaskan impak, tentang keadaan cuaca dan apa yang akan dilakukannya. Itulah yang diperlukan dalam meningkatkan lagi kesiapsiagaan dan tindakan segera beberapa kumpulan pengguna dan pelanggan yang bergantung kepada cuaca.

    Ujarnya, banyak lagi yang masih perlu dilakukan. Hanya separuh daripada 193 ahli WMO mempunyai sistem amaran awal pelbagai bahaya. Terdapat juga keperluan besar untuk meningkatkan kemahiran ramalan berdasarkan impak daripada sebahagian besar ahli.

    Beliau turut mengongsikan terdapat jurang-jurang besar dalam rangkaian pencerapan cuaca dan hidrologi di Afrika, sebahagian Amerika Latin dan Pasifik dan kepulauan Carribean. Ini menjejaskan ramalan-ramalan tempatan dan seluruh dunia.

    Oleh itu, WMO telah mewujudkan mekanisme pembayaran dikenali sebagai Systematic Observation Financing Facility (SOFF) untuk memacu perlaburan dalam sistem pemerhatian asas dan mengisi jurang data.

    Sehubungan itu, Taalas turut menyatakan WMO adalah rakan pelaksana dalam Climate Risk and Early Warning Systems Initiative (CREWS), yang membina kedayatahanan di kalangan negara dan masyarakat yang terdedah.

    “WMO menerajui gabungan air dan iklim baharu untuk menumpukan lebih perhatian kepada bahaya berkaitan air dan kekurangan air. Kami mempunyai program dan projek yang sangat berjaya berkaitan dengan siklon tropika, banjir pantai, banjir dan kemarau. Di Geneva, kami telah bersatu usaha dengan UN Office for Disaster Risk Reduction bagi membentuk sebuah pusat kecemerlangan dalam perubahan iklim dan bencana,” kongsinya lagi.

    Penyalur maklumat terpercaya

    Oleh yang demikian, Taalas juga mengemukakan WMO telah membangun satu mekanisme sokongan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dan berwibawa kepada agensi-agensi kemanusiaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk dapat mengunggulkan bantuan kemanusiaan sebelum dan selepas bencana cuaca.

    “Kami bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan seperti Bank Dunia, Kesatuan Eropah, UNDP dan Green Climate Fund untuk memperuntukkan lebih banyak dana bagi khidmat-khidmat amaran awal dan bagi memastikan kemapanan pelaburan. Pastinya, WMO komited kepada agenda antarabangsa 2030 dalam perubahan iklim, pembangunan lestari dan pengurangan risiko bencana,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...