Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siar foto hitam putih tagih hutang dari peminjam

    Sengaja memuat naik foto berwarna hitam dan putih, pemain keyboard kumpulan Floor 88 iaitu Eric Fuzi berharap individu yang meminjam duit dengannya tergerak hati untuk melangsaikan hutang tersebut.

    Eric atau Muhamed Eric Muhamed Fuzi, 33, berkata, walaupun hatinya sudah reda, namun itu tidak bermakna dia sudah menghalalkan wang yang dipinjamkan kepada individu terbabit.

    “Saya buat hantaran gambar hitam putih itu sebenarnya mengharapkan dia tengok dan tergerak hati nak bayar hutang.

    “Manalah tahu ada rasa serba salah, sebab kalau mati dalam keadaan tak sempat bayar hutang hukumnya berdosa.

    “Saya dah reda bila buat hantaran itu, tapi tak bermaksud saya halalkan,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Berkongsi lanjut, Eric mendedahkan hutang tersebut mencapai angka puluhan ribu ringgit.

    Malah jelas Eric, sudah dua tahun individu tersebut melarikan diri sehingga rumah serta kedai miliknya sudah disita.

    “Hutang dia pula lebih puluhan ribu ringgit, bukan dengan saya sahaja, tapi membabitkan ramai orang.  Sebenarnya saya dapat tahu dia sedang menanggung hutang yang banyak termasuk daripada bank dan beberapa agensi lain.

    “Dah dua tahun dia menghilangkan diri, saya sendiri tak tahu dia di mana, kedai dan rumah pun dah kena sita,” jelasnya.

    Sebelum ini, gara-gara memuat naik foto berwarna hitam putih, ramai menyangka artis itu sudah pergi buat selamanya.

    Bagaimanapun dalam hantaran itu, Eric menjelaskan dia berharap orang ramai mendoakan individu yang berhutang dengannya dikurniakan rezeki dan dipermudahkan urusan untuk melunaskan hutang dengan segera. – Agensi 

     Eric belum halalkan duit yang dipinjamkan kepada si penghutang. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda