DHAKA, 30 Dis – Saluran berita Bangladesh terkenal telah disekat dari bersiaran ke udara, kata para pegawai hari ini tatkala negara itu mengundi bagi kerajaan baharu di tengah-tengah dakwaan mengenai tindakan keras ke atas media.
Stesen TV swasta itu, Jamuna TV berkata langkah berkenaan dibuat pada lewat semalam.
“Pengendali kabel menyekat Jamuna TV daripada bersiaran tanpa memberi penjelasan kepada kami,” kata ketua penyunting berita stesen itu, Fahim Ahmed kepada AFP.
“Kami masih bersiaran. Namun tiada sesiapa di Bangladesh dapat menyaksikan saluran kami kerana ia telah dipadamkan,” katanya.
Namun saluran itu masih dapat disaksikan dalam talian. Badan penyiar itu, yang dipunyai oleh Kumpulan Jamuna, salah sebuah konglomerat terbesar Bangladesh, yang turut mengendalikan sebuah akhbar, terkenal dengan liputan bebasnya.
Salma Islam, salah seorang anggota keluarga yang memiliki kumpulan itu, menyertai pilihan raya hari ini sebagai calon bebas menentang seorang ahli perniagaan parti pemerintah yang berpengaruh.
Pengendali rangkaian terkemuka di Dhaka berkata siaran Jamuna TV terhenti disebabkan masalah teknikal bukan politik.
“Kami tidak mendapat isyarat daripada mereka,” kata S. M Ali Chancahl, pemilik pengendali kabel UCS .
Jamuna menolak penjelasan itu dan menegaskan isyarat mereka disiarkan seperti biasa.
Pihak berkuasa turut mengarahkan pengendali mudah alih di negara itu untuk menutup perkhidmatan 3G dan 4G mereka sehingga tengah malam hari ini . – AFP