LABUAN, 29 MEI – Jabatan Laut Labuan diminta meneliti isu perkhidmatan feri yang tidak mencukupi bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan termasuk menyiasat jika terdapat penjualan tiket di pasaran gelap.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, terdapat aduan mengenai pengembara yang terdiri daripada penduduk tempatan dan Sabah, tidak dapat menyambut musim perayaan bersama ahli keluarga di kampung halaman masing-masing kerana kekurangan tiket feri.
“Isu ini telah berlarutan lebih sedekad dan masih tidak diselesaikan.
“Memandangkan tiada tanda (pembinaan) jambatan yang dicadangkan akan dimulakan, harus ada penyelesaian kepada isu ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Beliau berkata pihak operator perkhidmatan feri telah meningkatkan bilangan perjalanan bagi laluan tersebut pada setiap kali musim perayaan, tetapi ia masih gagal menangani peningkatan jumlah pengembara.
Katanya, Jabatan Laut Labuan harus menimbangkan untuk menambah bilangan perjalanan daripada sembilan ke 12 dan memastikan terdapat feri beroperasi setiap jam dari 6 pagi hingga 11 malam setiap hari ketika musim perayaan.
Selain itu, Suhaili turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat jika terdapat jualan tiket feri dalam pasaran gelap.
“Terdapat sesuatu yang mencurigakan pada susun atur kenderaan ke dalam feri, memandangkan terdapat aduan mengenai orang mendapatkan tiket menerusi pasaran gelap untuk menaiki feri, terutama semasa perjalanan saat akhir,” katanya. – Bernama