SYDNEY, 19 DIS – Polis Australia hari ini berkata siasatan ke atas komplot penculikan membawa kepada penemuan sebanyak 722 kilogram (kg) kokain di Sydney, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut kenyataan Polis New South Wales (NSW) kelmarin, pihaknya menahan empat orang lelaki selepas menerima laporan tentang cubaan pecah masuk di pinggir bandar Ryde.
Polis berkata mereka menggeledah kereta itu dan menemukan barangan yang mempunyai kaitan dengan cubaan menculik.
Pasukan penyiasat kemudiannya mengenal pasti mangsa yang dimaksudkan dalam cubaan penculikan itu dan menemukan sebanyak 722kg kokain dalam sebuah hartanah yang mempunyai kaitan dengan lelaki berusia 24 tahun itu.
Dadah itu dipercayai mempunyai nilai pasaran melebihi AU$1 bilion (AS$670 juta).
Keempat-empat orang lelaki itu didakwa dengan lima kesalahan setiap seorang, termasuk memiliki senjata dengan niat untuk melakukan kesalahan yang boleh didakwa dan menjadi sebahagian daripada kumpulan jenayah.
Mangsa yang menjadi sasaran culik pula didakwa membekalkan kuantiti komersial dadah terlarang dan sengaja berurusan dengan hasil jenayah.
Polis NSW berkata mereka percaya empat orang lelaki itu memasuki kompleks unit itu dengan niat untuk merompak dan menculik penghuninya. – Bernama


