Monday, February 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siasat maklumat dos tidak tepat

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Berikutan dengan penyebaran gambar label bagi sejenis ubat jenama Paracetamol dengan maklumat dos tidak tepat yang disebarkan melalui aplikasi media sosial WhatsApp, baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa mereka mengambil serius mengenai perkara ini yang mana maklumat dos pengambilan yang kurang atau lebih boleh mendatangkan kemudaratan kepada pesakit.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, menjelaskan bahawa pembekalan ubat-ubatan untuk setiap pesakit adalah melalui beberapa proses penelitian termasuk meneliti maklumat preskripsi yang betul dan teratur menurut dos yang telah ditetapkan oleh pegawai perubatan.

    Kakitangan farmasi seterusnya menyemak dos pengambilan ubat dan menerangkan cara memakan dan kekerapan pengambilan ubat-ubatan kepada pesakit.

    Penyemakan dos ubat-ubatan yang ditentukan pada kebiasaannya akan disemak tiga hingga empat kali sebelum ia diberikan kepada pesakit. Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan para pesakit, oleh yang demikian, perkara seperti ini adalah tidak sepatutnya berlaku.

    Sehubungan itu, menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan penyiasatan yang terperinci ke atas perkara ini dan memohon kerjasama pesakit yang terbabit untuk menghubungi pihak kementerian di talian 2380485 (pada waktu bekerja) atau Talian Darussalam 123 bagi membantu siasatan. Maklumat peribadi pesakit terbabit akan dirahsiakan.

    Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sebarang maklum balas dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai bagi memastikan perkhidmatan kesihatan sentiasa di tahap yang menepati jangkaan pelanggan.

    Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai bolehlah mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau hubungi Talian Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda