NEGOMBO, SRI LANKA, 30 MEI – Pihak berkuasa Sri Lanka hari ini mengatakan mereka akan menyaman pemilik pengangkut kargo yang didaftar di Singapura yang masih terbakar selama 11 hari di luar pantai barat pulau itu sehingga mengakibatkan pencemaran marin terburuk.
Polis berkata siasatan jenayah juga dilancarkan ke atas kebakaran kapal MV X-Press Pearl yang membawa 25 tan asid nitrik dan sejumlah besar bahan plastik mentah.
Api besar itu masih menyala di belakang kapal sepanjang 186 meter, memusnahkan kebanyakan kargo, beberapa daripadanya juga jatuh ke Lautan Hindi.
Bertantan butir mikroplastik telah membanjiri pantai terkenal
negara Asia Selatan itu, memaksa tegahan menangkap ikan dan mencetuskan kebimbangan kemusnahan ekologi.
Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar Marin (MEPA) Sri Lanka berkata ia bertemu dengan Peguam Negara Sarijaya Rajaratnam hari ini untuk merancang tindakan perundangan ke atas pemilik kapal itu, kru, serta syarikat insuransnya.

“Kami telah melihat butirannya dan akan mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab,” kata Pengerusi MEPA, Dharshani Lahandapura memberitahu war-tawan di Colombo.
Menurutnya, mereka belum lagi membuat penilaian ke atas kemusnahan persekitaran namun percaya ia adalah ‘pencemaran marin terburuk’ yang pernah dialami Sri Lanka.
Kapal berusia tiga bulan itu menuju ke Colombo dari Gujarat, India. Sebelumnya ia mengunjungi Qatar dan Dubai dan dijangka ke Malaysia dan Singapura selepas Colombo.
Kru seramai 25 orang yang sudah pun dipindahkan dari kapal itu akan disoal siasat hari ini selepas aduan dibuat, kata polis.
Minggu lalu, pihak berkuasa berkata mereka percaya kebakaran disebabkan kebocoran asid nitrik yang disedari kru sejak 11 Mei.
“Kapten dan kru sedang dikuarantin, namun pihak berkuasa kesihatan telah memberitahu kami yang kami boleh menyoal mereka bermula esok,” kata jurucakap polis, Ajith Rohana kepada AFP.
“Kami sudah pun menghantar sampel air laut yang dicemari dan sisa terbakar dari kapal itu bagi laporan forensik.” – AFP