Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siasatan dilancarkan terhadap isu perkhidmatan bersalin UK

    LONDON, 23 JUN – Setiausaha Kesihatan United Kingdom, Wes Streeting, hari ini mengumumkan satu ‘siasatan segera’ terhadap perkhidmatan bersalin di England selepas beberapa skandal berlaku dalam tempoh 15 tahun.

    Streeting berkata beliau memerintahkan siasatan itu selepas mendengar banyak “cerita penuh kesedihan tentang trauma, kehilangan, dan kekurangan belas kasihan asas – yang disebabkan oleh kegagalan dalam penjagaan bersalin Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang sepatutnya tidak pernah berlaku.”

    “Sebab itulah saya mengarahkan satu siasatan seluruh negara segera supaya keluarga-keluarga ini mendapat kebenaran dan akauntabiliti yang mereka layak terima, serta memastikan tiada ibu bapa atau anak damit sekali lagi dikecewakan,” katanya.

    Menurut kenyataan kementerian kesihatan, siasatan itu akan dibahagikan kepada dua bahagian.

    Bahagian pertama akan menyiasat dengan segera sehingga 10 unit bersalin dan neonatal yang paling membimbangkan.

    Bahagian kedua akan menjadi kajian seluruh negara terhadap perkhidmatan bersalin, “mengumpulkan pengajaran daripada siasatan terdahulu untuk mewujudkan satu set tindakan nasional yang jelas bagi memperbaiki penjagaan di setiap perkhidmatan bersalin NHS.”

    Satu pasukan petugas yang terdiri daripada pakar dan keluarga yang kehilangan orang tersayang juga akan diwujudkan.

    Ketua Eksekutif NHS England, Jim Mackey, berkata siasatan ini menandakan “garis pemisah dalam penjagaan bersalin – menetapkan satu set tindakan jelas untuk pemimpin NHS memastikan penjagaan berkualiti tinggi untuk semua.” – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda