Tuesday, December 3, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siasatan isu Ziyad selesai

    KUALA LUMPUR, 14 OKT – Siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, selesai dua hari lepas (Selasa).

    Pengerusi jawatankuasa siasatan itu, Tan Sri Borhan Dolah memaklumkan pihaknya kini akan menumpukan untuk menyiapkan laporan penuh siasatan yang dijangka dapat dilengkapkan pada minggu hadapan.

    “Alhamdulillah apa yang saya boleh rumuskan adalah siasatan pada Isnin dan Selasa lalu berjalan lancar. Kesemua 10 individu dipanggil memberi kerjasama yang amat baik dalam membantu siasatan kami.

    “Pihak kami berpuas hati dengan bukti dikemukakan mereka dan tiada lagi individu tambahan akan dipanggil lagi selepas ini. Kesemua maklumat diperoleh sudah cukup bagi kami untuk menyiapkan laporan yang dijangka siap minggu depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Antara individu dipanggil membantu siasatan jawatankuasa berkenaan adalah Muhammad Ziyad, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

    Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menjangkakan kesemua hasil kerja mereka termasuk penyerahan laporan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dapat dilaksanakan sebelum hujung bulan ini.

    Selepas laporan diserahkan, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada satu tarikh sesuai bagi menerangkan dengan lebih lanjut siasatan termasuk syor dikemukakan untuk tindakan lanjut boleh diambil dan menjelaskan sebarang keraguan kepada KBS.

    Sekiranya KBS tidak berpuas hati dengan siasatan dijalankan, Borhan memberi jaminan pihaknya sememangnya bersedia untuk melakukan siasatan tambahan bagi memuaskan hati kementerian mengenai isu menyelubungi pemenang emas Rio 2016 itu. – Bernama

    Jaguh lontar peluru Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli (kiri) bersama jurulatihnya 
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda