BANGKOK, 30 JUN – Polis telah menyelesaikan siasatan mereka terhadap apa yang dipercayai pembunuh bersiri paling teruk di Thailand hari ini, menyerahkan kes seorang wanita yang dituduh terbabit dalam rangkaian keracunan sianida kepada pendakwa raya.
Seramai 14 orang mangsa maut dan seorang terselamat daripada pembunuhan yang didakwa berlaku dalam tempoh lapan tahun, kata polis, mengumumkan bahawa mereka akan memfailkan kes itu kepada Peguam Negara untuk pendakwaan hari ini.
Sararat Rangsiwuthaporn berdepan kira-kira 80 pertuduhan jenayah, termasuk 14 pertuduhan pembunuhan terancang satu rekod dalam sejarah jenayah Thai, kata polis.
“Sararat didakwa dengan pembunuhan terancang dalam semua 14 kes, yang membawa hukuman mati,” kata Anek Taosuparb, timbalan komander Bahagian Siasatan Jenayah, kepada pemberita.
“Ini adalah kes bersejarah di Thailand. Malah Jack the Ripper dari United Kingdom (UK) tidak membunuh seramai ini,” kata Timbalan Ketua Polis Surachate Hakparn, merujuk kepada nama samaran pembunuh sekurang-kurangnya lima wanita di East End London pada 1888.
Sararat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan berkenaan, menurut polis.
Pihak berkuasa berkata, pembunuhan itu dilakukan dengan motif kewangan dan suspek mempunyai ketagihan terhadap perjudian dalam talian. – AFP
